suria

Taib Janji Peralihan Pimpinan Negeri Berjalan Lancar

Taib (lima, kiri) dan Ragad Kurdi (lima, kanan) memotong kek pada majlis makan malam Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching-Samarahan 2014 dan sambutan Tahun Baru Cina sempena Ulangtahun ke-35 di Dewan Masyarakat, Padungan di Kuching malam Ahad. Foto BERNAMA
KUCHING: Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang akan berundur sebagai Ketua Menteri Sarawak, memberi jaminan bahawa peralihan kepimpinan negeri akan berjalan lancar kerana penggantinya Tan Sri Adenan Satem memahami dan arif tentang semua dasar dan wawasan kerajaan negeri. 

Beliau berkata, rakyat Sarawak tidak perlu bimbang kerana beliau yakin Adenan dapat melaksanakan semua dasar demi kepentingan rakyat.

"Jangan bimbang, beliau (Adenan) telah bekerjasama dengan saya seperti Soon Koh (Wong Soon Koh). Beliau boleh melakukan apa sahaja untuk melaksanakan apa sahaja dasar yang ada, jadi peralihan kuasa akan berjalan lancar.

"Kamu tidak perlu bimbang kerana kami merancang semua dasar ini bersama," kata beliau pada sambutan Tahun Baharu Cina 2014 Gabungan Persatuan Cina (Hua Zong) Bahagian Kuching dan Samarahan di sini malam Ahad.

Pada 12 Februari lepas, Taib mengumumkan bahawa beliau akan meletak jawatan sebagai ketua menteri, berkuat kuasa 28 Februari dan akan digantikan Adenan yang juga Menteri Tugas-tugas Khas di Pejabat Ketua Menteri dan anggota dewan undangan negeri Tanjung Datu.

Upacara mengangkat sumpah ketua menteri Sarawak yang baharu dijadual pada 28 Februari.

Taib juga memberi jaminan bahawa peletakan jawatannya tidak bermakna bahawa semua yang dirancang semasa pentadbirannya akan dihentikan oleh kepimpinan baharu.

"Mungkin sesetengah pemimpin muda dalam kerajaan sekarang akan melakukan sesuatu yang lebih baik selepas itu dan ini baik untuk Sarawak kerana ia menunjukkan kita boleh melaksanakan apa sahaja rancangan secara berterusan tanpa gangguan," kata beliau.

Pada majlis itu, Taib yang diiringi isteri, Puan Sri Ragad Kurdi Taib disambut antara lain oleh Menteri Kewangan Kedua Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh yang juga Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam, Presiden Hua Zong Temenggong Lu Kim Yong dan 1,000 anggota persatuan. 

Artikel Sebelum

Bayi Ditemui Diurung Semut

Artikel Berikut

17,000 Penerima Tolak BR1M

Artikel Lain