suria

Husni Nafi Mahu Letak Jawatan Kabinet

Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah
Oleh VANES DEVINDRAN

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah menafikan khabar angin kononnya beliau merupakan salah seorang daripada dua menteri daripada Umno yang akan meletak jawatan pada rombakan Kabinet akan datang.

Sebaliknya Ahmad Husni menegaskan beliau merupakan seorang yang sukakan cabaran dan kerjayanya.

"Tak ada begitu...saya tak tahu bagaimana (khabar angin) itu muncul," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Beliau berkata jawatan seorang menteri Kabinet diperlukan demi memastikan kestabilan, keamanan dan kemakmuran di negara ini.

Oleh itu katanya, tanggungjawab tersebut perlu dilakukan terlebih dahulu dan bukan memikirkan berapa lama seseorang itu perlu kekal sebagai menteri.

"Saya seorang yang sentiasa menyayangi kerja saya. Lebih mencabar lebih bagus. Jika semuanya baik maka di mana cabarannya? Cabaran itu akan menjadi pendorong,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai cakap-cakap bahawa dua Menteri Kabinet akan melepaskan jawatan kerana tidak berpuas hati dengan perjalanan pentadbiran kerajaan.

Sebuah portal berita melaporkan seorang menteri yang berada dalam kumpulan pentadbiran ekonomi tidak berpuas hati dengan pentadbiran sedia ada.

Ketika ini kumpulan menteri Kabinet yang berada dalam kelompok berkenaan ialah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Husni; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

Husni, Kabinet, Menteri, Malaysia

Artikel Berikut

Artikel Lain