suria

Najib Ucap Tahniah Kepada 10 Hotel M'sia Terima Anugerah 'Hotel Hijau'

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah kepada 10 hotel Malaysia yang memenangi Anugerah Hotel Hijau Asean 2014 di Kuching, Ahad.

"Tahniah atas kejayaan yang memberangsangkan ini. Saya harap Malaysia akan terus mengekalkan prestasi sebegini dalam usaha memacu teknologi hijau di rantau Asia Tenggara," kata Najib dalam catatan di laman Facebooknya.

Sepuluh hotel Malaysia itu antara 76 hotel dari seluruh Asean yang menerima anugerah berkenaan sempena Forum Pelancongan Asean 2014 di Sarawak.

Hotel berkenaan ialah Shangri-La's Tanjung Aru Resort and Spa, Kota Kinabalu; Shangri-La's Rasa Ria Resort, Tuaran; Nexus Resort Karambunai, Kota Kinabalu; Riverside Majestic Hotel, Kuching; dan Miri Marriott Resort and Spa.

Penerima lain ialah tiga hotel di Kuala Lumpur iaitu Mandarin Oriental, Shangri-La dan Renaissance; The Andaman, Langkawi, dan Shangri-La's Rasa Sayang Resort and Spa, Pulau Pinang. BERNAMA

Artikel Lain