suria

Pensyarah Kolej Swasta Didenda RM25,000 Terima Rasuah

Wong keluar dari Mahkamah Sesyen di Ipoh, Perak setelah dijatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM25,000 atas lima kesalahan rasuah. - fotoBERNAMA
Wong keluar dari Mahkamah Sesyen di Ipoh, Perak setelah dijatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM25,000 atas lima kesalahan rasuah. - fotoBERNAMA
Wong keluar dari Mahkamah Sesyen di Ipoh, Perak setelah dijatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM25,000 atas lima kesalahan rasuah. - fotoBERNAMA

IPOH: Seorang pensyarah kolej swasta di sini dijatuhi hukuman penjara sehari dan didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen pada Jumaat selepas mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan menerima rasuah RM1,130 daripada dua penuntutnya.

Pensyarah di Jabatan Matematik dan Statistik, Institut Teknologi Perak Wong Chee Wai, 42, dari Taman Indah Jaya di sini menukar pengakuan kepada bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Madihah Harullah pada prosiding sebutan kesnya, Jumaat.

Pada 31 Oktober lepas, Wong mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu dan didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda jumlah suapan, mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan pertama, pensyarah itu didakwa menerima RM250 daripada seorang penuntut lelaki yang mengulang mata pelajaran Statistik, sebagai dorongan untuk menaikkan markah penilaian berterusan bagi subjek berkenaan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di ruang tangga antara Blok C dan Blok D, Bangunan Greentown Square di sini pada 4 petang, 10 Oktober 2011.

Bagi tuduhan kedua, dia didakwa menerima RM300 daripada pelajar lelaki sama sebagai dorongan menaikkan markah penilaian berterusan bagi subjek Matematik III untuk Semester II, sesi 2011/2012 di dalam bilik CR410, tingkat 3A, ITP pada 10.30 pagi, 3 Februari 2012.

Tuduhan ketiga, pensyarah itu didakwa menerima RM300 daripada pelajar sama bagi tujuan sama di ruang tangga antara Blok C dan Blok D, ITP pada 2 petang, 8 Februari 2012.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, Madihah menjatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM11,000 atau penjara lapan bulan jika gagal membayar denda.

Bagi pertuduhan keempat, Wong didakwa meminta rasuah RM140 daripada seorang pelajar perempuan sebagai dorongan untuk menaikkan markah penilaian berterusan bagi subjek Matematik IV bagi Semester I, sesi 2011/2012 di Perpustakaan ITP pada 4.15 petang, 14 September 2011.

Bagi pertuduhan kelima, Wong juga didakwa menerima wang tunai RM140 daripada pelajar berkenaan bagi tujuan sama di hadapan kelas CR410, tingkat 3, Blok E, ITP pada 3 petang, 12 Oktober 2011.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, mahkamah menjatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM14,000 atau 10 bulan penjara terhadap tertuduh dan memerintahkan hukuman penjara bagi kesemua pertuduhan berjalan serentak.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM A. Hafizh Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam M. Kathan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain