suria

Remaja Perempuan Maut Diseret Lori Sejauh 10 Meter

KOTA BARU: Seorang remaja perempuan yang membonceng motosikal yang ditunggang kakaknya maut selepas diseret kira-kira 10 meter oleh sebuah lori membawa muatan batu di Simpang Tiga Tiong, Pasir Hor di sini Isnin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 pagi itu, Noraidawatie Irnie Mohd Sapawi, 19, yang beralamat di Kampung Apal, Jerteh maut di tempat kejadian selepas parah di kepala manakala kakaknya Nor Rashidah, 24, hanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kota Baharu ACP Azham Othman berkata siasatan awal mendapati ketika kedua-dua adik beradik tersebut yang dalam perjalanan dari Pasir Puteh menuju pusat bandar telah melihat lori tersebut yang berhenti di sebelah laluan kanan menuju Pasir Hor.

"Nor Rashidah kemudiannya memperlahankan motosikal untuk susur keluar ke kiri menuju ke lampu isyarat di simpang empat tersebut sebelum lori itu secara tiba-tiba menukar haluan ke sebelah kiri dan melanggar belakang motosikal mangsa dan mengenai pemboncengnya.

"Penunggang dan pembonceng diseret oleh lori berkenaan sejauh kira-kira 10 meter," katanya ketika dihubungi di sini Isnin.

Azham berkata mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat dan pemandu lori tersebut hadir ke Balai Polis Kota Baharu dan ditahan untuk siasatan lanjut. - BERNAMA

Artikel Lain