suria

Campur Tangan Melampau Kepimpinan Pusat PKR Punca Wakil Sabah Hilang Keyakinan

Jelani Hamdan (duduk, tengah) bersama bekas ketua-ketua Cabang PKR Sabah pada sidang media pengumuman keluar parti di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur, Selasa.
Jelani Hamdan (duduk, tengah) bersama bekas ketua-ketua Cabang PKR Sabah pada sidang media pengumuman keluar parti di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur, Selasa.
Jelani Hamdan (duduk, tengah) bersama bekas ketua-ketua Cabang PKR Sabah pada sidang media pengumuman keluar parti di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur, Selasa.

KUALA LUMPUR: Terlalu banyak campur tangan kepimpinan di peringkat pusat dalam urusan parti di Sabah merupakan antara faktor pemimpin dari 11 cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) keluar parti.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Matunggong Datuk Jelani Hamdan berkata soal autonomi yang dicanangkan pemimpin PKR di peringkat pusat sebenarnya tidak langsung dipraktikkan, termasuk dalam urusan melantik ketua pembangkang negeri dan Majlis Pimpinan Negeri parti itu.

"Bukan soal pembangunan semata-mata. Tapi kita hilang kepercayaan terhadap kepimpinan PKR khususnya di peringkat pusat dan negeri. Soal autonomi...beri kuasa kepada Sabah pilih pemimpin tapi authority datang dari seorang individu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pengumuman keluar parti pemimpin cabang PKR Sabah dan menyokong Barisan Nasional (BN) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Menara Dato' Onn di sini, Selasa.

Jelani dan Adun Kadamaian Jeremy Malajad, kedua-duanya, telah terlebih dahulu keluar parti pada 4 November, turut hadir pada sidang media itu.

Jelani yang mewakili pemimpin dari 11 cabang parti itu turut mendedahkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan individu yang terlibat campur tangan dalam urusan pentadbiran parti di Sabah.

Mengulas mengenai gelombang kedua pemimpin cabang PKR negeri yang akan keluar parti selepas ini, Jelani mendakwa jumlah keseluruhan yang terlibat tidak kurang 20 cabang.

Di Sabah terdapat 25 cabang (bahagian) PKR, katanya sambil menambah keputusan mereka meninggalkan parti telah dibuat sejak selepas pilihan raya umum ke-13 lepas.

Beliau turut menafikan bekas pemimpin cabang PKR yang keluar parti itu telah 'dibeli' oleh BN memandangkan parti itu (BN) telah menguasai dua pertiga kerusi DUN.

Mengenai maklum balas Anwar berhubung tindakan keluar parti, Jelani berkata: "Dalam SMS, memang kecewa...memang normallah dia (Anwar) kata kami dapat tawaran lebih baik daripada pihak lain."

Dalam pada itu, Jelani turut menyatakan komitmen kesemua mereka untuk memberi sokongan 100 peratus kepada BN, tetapi masih belum membuat keputusan sama ada mahu menyertai komponen parti itu atau membentuk satu kumpulan baharu.

Ditanya pindaan perlembagaan PKR pada konvensyen parti itu Ahad lepas yang akan melantik seorang wakil negeri Sabah dan Sarawak mengisi jawatan naib presiden, Jelani berkata: "Anda boleh pinda apa juga artikel, tapi dari segi pelaksanaan, sama ada ikut atau tidak. Mungkin hanya atas kertas sahaja.

"Ini terjadi dalam keputusan-keputusan yang dibuat di peringkat negeri."

Bekas ketua cabang Kota Marudu Anthony Mandiau pula berkata kegagalan pucuk pimpinan parti mendengar suara rakyat di Sabah adalah punca mereka hilang kepercayaan dan beralih menyokong BN.

Beliau mendakwa presiden dan timbalan presiden parti itu turut mencampuri urusan parti di Sabah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain