suria

Dana Equibumi Ditubuhkan Untuk Syarikat Bumiputera

KUALA LUMPUR: SME Bank akan menubuhkan Dana Ekuiti Bumiputera (EquiBumi) dengan peruntukan RM300 juta untuk menyediakan kemudahan pinjaman kepada syarikat Bumiputera yang berwibawa mengambil alih syarikat tersenarai atau syarikat yang berpotensi untuk disenaraikan di Bursa Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata peruntukan RM200 juta turut disediakan oleh SME Bank untuk program pembangunan semula Tanah Rezab Melayu di kawasan strategik seperti Kampung Baru, Kampung Pandan dan Kampung Datuk Keramat.

"Kemudahan ini akan membantu masyarakat Melayu setempat meningkatkan taraf hidup seiring dengan pembangunan pesat di kawasan persekitaran," kata beliau semasa membentangkan Bajet 2014 bertemakan "Memperteguh Ketahanan Ekonomi, Memperkasa Transformasi dan Melaksana Janji" di Dewan Rakyat.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan akan terus meningkatkan penglibatan Bumiputera dalam bidang perniagaan dan keusahawanan bagi menjana pendapatan dan kekayaan.

"Antara program yang akan dilaksanakan ialah mewujudkan Skim Usahawan Permulaan Bumiputera atau SUPERB dengan dana permulaan RM30 juta," kata beliau. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain