suria

Penganggur Didakwa Cedera, Ceroboh Rumah Dan Cabul Kakak Ipar

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Selasa terhadap tiga pertuduhan mencederakan, menceroboh rumah, dan mencabul kehormatan kakak iparnya, Sabtu lepas.

Lelaki berumur 54 tahun itu mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan mencederakan dan mencabul kehormatan wanita berumur 55 itu.

Bagaimanapun, dia mengaku bersalah bagi pertuduhan menceroboh rumah wanita itu ketika pertuduhan dibaca kepadanya di hadapan Majistret Nur A'minahtul Mardiah Md Nor.

Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa mencederakan wanita itu dengan menggunakan tangan dan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa menceroboh masuk ke rumah wanita itu dan menggunakan kekerasan jenayah kepada wanita itu dengan maksud untuk mencabul kehormatannya.

Pertuduhan dibuat masing-masing mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun, atau denda atau kedua-duanya; dan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Ipoh di sini pada 7 pagi 28 September lepas.

Majistret Nur A'minahtul Mardiah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 31 Oktober untuk sebutan dan jatuh hukum bagi pertuduhan menceroboh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S.Nithia manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

14 Bahagian Kedah Sokong Soi Lek

Artikel Lain