suria

Tahanan Pusat Pemulihan Akhlak Mati Kerana Sakit - Jabatan Penjara

KUALA LUMPUR: Kematian seorang tahanan Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah pada Selasa lepas berpunca daripada penyakit yang dialaminya, dan bukan kerana didera kakitangan ataupun tahanan pusat itu.

Timbalan Pengarah Dasar Kepenjaraan Ibu Pejabat Penjara Malaysia Supri Hashim berkata keputusan itu dibuat hasil bedah siasat yang dijalankan pakar perubatan ke atas mangsa, dan perkara berkenaan telah dimaklumkan kepada keluarganya.

Sehubungan itu, beliau menafikan laporan beberapa berita portal pada Rabu yang mendakwa seorang lelaki berusia 26 tahun ditemui mati dengan kesan lebam di seluruh badan selepas empat hari dimasukkan ke pusat pemulihan dadah di Batu Gajah kerana didera.

Supri juga berkata kesan garisan gelap yang terdapat di bahagian tertentu tubuh mangsa bukan kecederaan berpunca daripada kekerasan dan siasatan mendapati tiada sebarang unsur deraan terhadap mangsa oleh pegawai penjara mahupun tahanan lain.

"Mangsa yang ditempatkan di sebuah bilik berseorangan di pusat itu mengadu sakit pada Ahad lepas, dan menerima rawatan daripada doktor panel Jabatan Penjara," katanya dalam kenyataan di sini Khamis.

Supri berkata keesokannya apabila mangsa mengadu sakit sekali lagi, dia telah dibawa ke Hospital Batu Gajah dan dibenarkan pulang pada hari sama.

Beliau berkata pada Selasa lepas, mangsa yang mengadu sakit, tiba-tiba tidak sedarkan diri, dan disahkan meninggal dunia oleh anggota perubatan dari Hospital Batu Gajah yang tiba di pusat itu untuk memberi rawatan kepadanya.

Supri berkata pihaknya membuat laporan polis berdasarkan prosedur Jabatan Penjara bagi memastikan inkues serta bedah siasat dapat dijalankan, dan pihaknya turut memaklumkan kejadian itu kepada keluarga mangsa.

"Mayat mangsa telah diserahkan kepada keluarganya selepas bedah siasat dijalankan semalam," katanya.

Supri berkata mangsa juga tidak pernah membuat aduan kepada pihak pengurusan pusat itu mengenai sebarang kekerasan terhadap dirinya oleh pegawai penjara mahupun tahanan lain.

Ibu Pejabat Penjara Malaysia juga telah mengarahkan Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah untuk memberi kerjasama sepenuhnya sekiranya siasatan lanjut diperlukan oleh mana-mana pihak berkuasa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain