suria

ATM, PDRM Tambah Aset Pertahanan Di Esszone

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menambah aset pertahanan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang diletak di bawah pengawasan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain berkata antara penambahan itu ialah menyediakan kenderaan pengangkut anggota berperisai (APC) untuk pasukan tentera darat dan PDRM.

"Kami akan turut menambah aset udara seperti helikopter dan perkara lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar selepas majlis syarahan bertajuk 'Kerjasama Antara ATM dan PDRM Ketika Ops Daulat: Satu Usaha Strategi Lautan Biru Kebangsaan' anjuran Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (Midas) di sini Selasa.

Beliau berkata PDRM juga akan menyediakan aset bot bagi mengawal perairan cetek di sekitar Sabah dalam menangani masalah jenayah dan penyeludupan.

"Kita lihat menerusi pelaksanaan Esscom, tahap keselamatan di Sabah kini jauh lebih baik berbanding semasa pencerobohan pengganas di Lahad Datu," katanya.

Zulkifeli berkata kerjasama antara ATM dan PDRM ketika Ops Daulat di Sabah adalah melalui pelaksanaan Strategi Lautan Biru Kebangsaan yang banyak mempertingkat hubungan kedua-dua agensi.

"Saya boleh katakan kini kita dapat saling memahami budaya kerja yang berbeza serta melaksanakan operasi bersama," katanya.

Sementara itu, Khalid berkata pihaknya kini memberi tumpuan terhadap pembinaan lima balai polis baharu dan menambah baik tiga balai sedia ada di kawasan Esszone.

Beliau turut mengalu-alukan kehadiran orang awam ke Kampung Tanduo di Lahad Datu, yang merupakan lokasi utama serangan pengganas .

"Kini keadaan keselamatan jauh bertambah baik dan saya difahamkan jumlah pelancong yang datang juga telah bertambah," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain