suria

Sokongan Pengundi Muda Meningkat - Dr Zaki

KUALA KEDAH: Strategi Barisan Nasional (BN) meletakkan ramai calon muka baru terutama di kalangan golongan muda dilihat berupaya menarik sokongan kelompok berkenaan.

Calon Barisan Nasional (BN) kawasan Parlimen Kuala Kedah, Dr Zaki Zamani Abdul Rashid, 35, berkata, transformasi yang dilakukan BN khususnya dalam mengetengahkan potensi belia menjadi faktor tarikan golongan itu kepada BN.

"Alhamdulillah kita nampak sudah ada gelombang peningkatan sokongan anak-anak muda kepada BN.

"Pemilihan belia sebagai calon pilihan raya merupakan pengiktirafan kepada golongan muda khususnya bagi membawa suara mereka ke peringkat yang lebih tinggi," katanya ketika ditemui semasa berkempen di sekitar Jeti Kuala Kedah di sini, Selasa.

Dr Zaki merupakan antara calon paling muda daripada BN yang diketengahkan pada pilihan raya kali ini.

Selain Dr Zaki, calon paling muda yang bertanding pada pilihan raya mewakili BN di Kedah ialah Ketua Puteri Umno Bahagian Kulim-Bandar Baharu, Nor Sabrina Mohd Noor, 34.

Mengulas lanjut Dr Zaki berkata, beliau yakin kira-kira 44 peratus pengundi muda daripada 95,328 pengundi dalam Parlimen Kuala Kedah mahu melihat perubahan di kawasan berkenaan di bawah pentadbiran BN.

"Melalui maklum balas yang saya terima mereka mahukan perubahan, mereka dahagakan pembangunan yang pesat terutamanya kemajuan ekonomi dan sosial," katanya.

Malah tambah beliau, fokus kepada pembangunan pendidikan untuk golongan muda juga perlu diberi perhatian yang sewajarnya.

"Kesedaran mengenai pentingnya pendidikan perlu diperluas kerana ia merupakan laluan utama bagi meningkatkan taraf hidup mereka," katanya.

Artikel Lain