suria

Manifesto BN: Janji Wartakan Semua Tanah Adat Jika Diberi Mandat Pada PRU-13

KUALA LUMPUR: Dalam merancang jaringan keselamatan sosial, Barisan Nasional (BN) berjanji untuk mewartakan semua tanah adat menerusi perundingan bersama dengan kerajaan-kerajaan negeri jika diberi mandat untuk menubuhkan kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Selain mewujudkan mahkamah khas yang mempunyai status yang sama dengan Mahkamah Tinggi di bawah sistem kehakiman sedia ada, hakim akan dibantu penasihat yang dipilih dalam kalangan ketua komuniti untuk menyelesaikan isu-isu tanah pribumi.

Janji-janji BN itu termaktub dalam Manifesto BN bertemakan "Menepati Janji, Membawa Harapan" yang dilancarkan Pengerusinya Datuk Seri Najib Tun Razak di sini malam Sabtu.

BN turut berjanji untuk menyediakan lebih banyak peluang untuk menjana pendapatan dalam kalangan komuniti pribumi, dan meningkatkan bilangan pengambilan pribumi dalam pendidikan vokasional, kolej dan universiti.

Pada tahun ini, kerajaan BN telah memperuntukkan RM138 juta untuk menyediakan kemudahan dan peluang pekerjaan kepada Orang Asli.

Manifesto BN turut menekankan usaha untuk memperhalusi dan menambahbaik jaringan bantuan keselamatan menerusi sistem pangkalan data bersepadu, dan menyediakan tabung untuk pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan berdaftar dan gerakan masyarakat sivil.

Selain itu, BN juga berjanji akan menyediakan bantuan kewangan dan peluang pendidikan untuk golongan berpendapatan rendah tanpa mengira kaum.

Pada masa ini, kerajaan BN telah melancarkan melancarkan KAR1SMA iaitu program Kebajikan Rakyat 1Malaysia dengan peruntukan RM3.67 bilion pada tahun 2010 hingga 2013 bagi membantu golongan tua, kanak-kanak dan pekerja kurang upaya serta mereka yang menghidap penyakit kronik.

Malah kerajaan BN telah meningkatkan bantuan Jaringan Keselamatan Sosial bulanan daripada RM80 hingga RM300.

Dalam manifesto BN, kawasan Brickfields di Kuala Lumpur akan dijadikan zon mesra golongan buta supaya ia menjadi zon contoh yang bakal mendorong lebih banyak tempat seumpama itu disediakan bagi memenuhi keperluan golongan kurang upaya. - BERNAMA

Artikel Lain