suria

Tiada Isu Mengenai Kemasukan Daging Kuda

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengesahkan kemasukan daging kuda ke negara ini tidak berlaku dan ia tidak wajar dilihat sebagai satu isu.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Abd Aziz Jamaluddin berkata pada masa ini bekalan daging mencukupi dan dasar perdagangan terbuka negara serta pemilihan produk mengikut piawaian antarabangsa menghalang daging kuda atau produk-produk berasaskan daging yang tidak dibenarkan memasuki pasaran Malaysia.

"Kita punya bekalan (daging lembu) yang cukup banyak kerana kita ada satu dasar yang agak terbuka dari segi perdagangan.

"Kalau tak cukup daging lembu (tempatan), kita import dari luar negara tapi cara kita pilih negara pengimport pun ikut standard dan piawaian antarabangsa. Tak ada isu (mengenai daging kuda). Jika ada, kebarangkaliannya sangat tipis," katanya kepada pemberita pada satu sidang media mengenai isu dan status terkini kebajikan haiwan dan isu daging kuda dalam campuran daging burger di sini, Khamis.

Dr Abd Aziz berkata bagaimanapun dalam situasi tertentu terdapat kemungkinan di mana kuda yang telah disahkan selamat untuk disembelih dimakan oleh golongan tertentu di negara ini.

"Biasanya kuda yang sudah tua dan mereka tidak mahu kuda itu mati jadi mereka sembelih," katanya sambil menambah kuda yang sakit atau cedera juga akan disembelih sebelum ia mati.

Mengulas lanjut beliau berkata pihaknya akan mengeluarkan arahan kepada golongan berkenaan dan premis-premis menyimpan kuda supaya memaklumkan tentang penyembelihan kepada JPV.

"Bila ada keperluan menyembelih kuda mereka mesti dapat kebenaran kita dulu. Untuk apa nak sembelih... sekurang-kurangnya kita tahu ke mana daging itu pergi.

"Kuda lumba pula tak boleh dimakan kerana berisiko tinggi dan kemungkinan besar mengandungi racun," katanya.

Beliau menjelaskan sehingga kini tidak terdapat undang-undang yang melarang untuk memakan daging kuda di Malaysia.

Bagaimanapun beliau berkata daging kuda jarang dimakan kerana tekstur daging yang keras, berbau dan panas walaupun telah disembelih secara sah dan halal.

Isu daging kuda timbul apabila terdapat laporan menyatakan terdapat daging kuda dalam campuran daging burger yang diimport dari Eropah termasuk United Kingdom.

Laporan itu menyebut, daging lembu import dari negara terbabit adalah campuran daging lembu dan kuda yang dijual di pasar raya besar di Perancis, Belanda, Sweden dan Britain.

Artikel Lain