suria

11 Nelayan Vietnam Ditahan, Bot Dan Peralatan Menangkap Ikan Dirampas

PASIR PUTEH: Sepuluh awak-awak dan seorang tekong nelayan Vietnam ditahan pada Rabu, dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Kelantan merampas bot serta peralatan menangkap ikan mereka bernilai lebih RM2.5 juta.

Kesemua mereka yang berusia antara 25 dan 55 tahun itu ditahan di kedudukan 99 batu nautika daripada Tok Bali ketika sedang menangkap ikan di perairan negara pada pukul 1.30 pagi.

"Mereka cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran kapal maritim dan kami terpaksa mengejar mereka selama 20 minit," kata Ketua Penguat Kuasa Maritim yang berpangkalan di Tok Bali Kpt Maritim Wan Burhanuddin Jusoh.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat Maritim di sini pada Khamis, beliau berkata ini adalah kali ketiga pihaknya menahan kapal nelayan Vietnam dalam tempoh dua bulan kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara.

Wan Burhanuddin berkata pencerobohan nelayan asing kini amat membimbangkan apabila mereka seringkali dikesan menghampiri kawasan pelantar minyak di pantai timur.

"Ada di kalangan mereka semakin berani apabila menambatkan bot-bot laut dalam mereka di tiang pelantar minyak," katanya. BERNAMA

Artikel Lain