suria

Amalan Perkongsian Konsep Terbaik Untuk Malaysia - PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam Sabtu berkata amalan perkongsian perlu dikekalkan kerana ia merupakan konsep terbaik untuk Malaysia yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum.

Beliau berkata konsep tersebut sememangnya telah lama dipraktikkan iaitu menerusi perkongsian kuasa sejak merdeka serta perkongsian kekayaan sehingga membolehkan Malaysia menjadi sebuah negara yang aman makmur.

"Kita juga kongsi raya...kaum lain datang untuk sama-sama sambut Tahun Baharu Cina. Kalau nak capai potensi yang maksimum, maka konsep (berkongsi) yang unik pada Malaysia ini mesti dikekalkan," katanya ketika berucap pada majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina 2013 di Puchong, dekat sini.

Najib mengingatkan rakyat bahawa sikap keterlaluan atau "memilih jalan sendiri" tidak boleh diamalkan di dalam sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk.

Majlis yang disertai hampir 50,000 pengunjung itu turut dihadiri isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Antara tetamu kenamaan lain yang hadir ialah Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan beberapa menteri Kabinet termasuk Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Mengulas lanjut mengenai konsep perkongsian, Najib berkata: "Kalau kita sanggup berkongsi kekayaan, berkongsi menghadapi cabaran serta masalah dan bermuafakat maka Malaysia akan jadi negara yang berjaya."

Beliau menarik perhatian bahawa kaum Cina di negara ini sememangnya terkenal dengan kerajinan bekerja sehingga mendorong kepada kejayaan.

Najib bagaimanapun berkata kejayaan mereka juga adalah kerana usaha kerajaan sejak merdeka yang telah mewujudkan keadaan selesa bagi membolehkan mereka mencapai kejayaan secara berterusan.

Dalam pada itu, beliau menaruh harapan Malaysia akan melakar lebih banyak kemajuan dan kejayaan di tahun baharu ini.

"Tapi apa yang menarik perhatian saya ialah kemajuan yang terus meningkat hanya boleh dicapai kalau kita memberi perhatian, mempunyai perancangan yang rapi, fokus serta berdisiplin," kata Najib.

Beliau berkata segala yang dilakukan oleh kerajaan sejak empat tahun lepas termasuk Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) adalah bukti perancangan dan fokus yang sistematik dapat mencapai kemajuan.

"Kemajuan tidak boleh dicapai sekelip mata, tidak datang bergolek...Ia bermula dengan perancangan dan peta jalan yang cukup jelas untuk tentukan hala tuju dan masa depan negara," katanya.

Najib juga berkata pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) telah menunjukkan kejayaan yang besar dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini.

"Kalau kerajaan BN tak capai kemajuan, tak bagi peluang, tak laksanakan dasar yang tepat...meskipun rajin, berkebolehan untuk berniaga tak akan berjaya.

"Kena tepuk dua tangan baru boleh bunyi," katanya. BERNAMA

Artikel Lain