suria

Penemuan Komponen Senjata M16:UPP Tahan Dua Pemandu, Enam Penumpang Bas Ekspres

PASIR MAS: Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) menahan dua pemandu bas ekspres dan enam penumpang selepas menjumpai komponen senjata api disyaki jenis M16 dalam sebuah beg di tempat menyimpan barang kenderaan itu dalam sekatan jalan raya di Simpang Empat Salam, Rantau Panjang pada Rabu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata enam penumpang bas ekspres itu, masing-masing tiga lelaki dan tiga wanita berumur antara 22 dan 44 tahun, menaiki bas tersebut dari pekan Rantau Panjang menghala ke Kuala Lumpur.

Beliau berkata pemeriksaan ke atas bas itu dilakukan anggota UPP pada kira-kira 8.40 malam.

"Anggota unit itu menjumpai komponen senjata api jenis M16 itu, yang telah dileraikan dan disembunyikan dalam sebuah beg di tempat simpanan barang bas itu.

"Pemeriksaan lanjut anggota unit itu turut menjumpai dua kelopak peluru di mana salah satu kelopak mengandungi 22 butir peluru 5.56mm dan satu lagi kelopak kosong, dua kotak peluru jenis 5.55mm yang mengandungi 20 butir peluru setiap kotak, 1 teleskopik, 1 Body Receiver Colt M16A1 dan Upper Receiver," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas, Khamis.

Jalaluddin berkata suspek yang ditahan dan semua barang kes diserah kepada polis daerah itu untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman maksimum penjara 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali.

Kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960, yang membawa hukuman maksimum penjara 7 tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. BERNAMA

Artikel Lain