suria

Analisis Kedudukan Kerusi Parlimen Oleh Nizar Bukti Pembangkang Terdesak - Zambry

IPOH: Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata analisis mengenai kedudukan kerusi Parlimen bagi setiap negeri selepas pilihan raya umum ke-13 yang dibuat Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak membuktikan pembangkang kini berada dalam keadaan terdesak.

"Saya melihat analisis oleh Datuk Seri Nizar Mohammad Jamaluddin itu sebenarnya adalah perang saraf kerana mereka tahu BN (Barisan Nasional) akan menang.

"Biarlah mereka buat andaian kerana mereka tahu bahawa bila mereka sebut lagi tinggi itu menandakan bahawa mereka sedang dalam (keadaan) terdesak," katanya kepada pemberita selepas melawat bangunan baharu Dewan Perniagaan India Perak di sini, Isnin.

Nizar, di laman twitter miliknya pada Ahad memaparkan analisis kedudukan kerusi Parlimen pakatan pembangkang dan BN bagi setiap negeri selepas pilihan raya umum ke-13.

Dalam analisis itu pembangkang dikata memperoleh 18 kerusi di Perak manakala BN enam kerusi.

Ditanya mengenai tindakan Nizar dan pemimpin pembangkang di negeri ini mengadakan program Kayuhan Kuning 2013 semalam yang dikatakan hampir sama seperti program anjuran menteri besar Perak itu, Zambry berkata: "Kalau dia nak tiru itu biarlah dia nak tiru".

Beliau berkata program kayuhan basikal anjurannya bukan kayuhan biasa sebaliknya mahu menyelami masalah yang dihadapi rakyat di setiap kawasan.

"Mereka pun nak berkayuh juga tetapi berkayuh dengan bendera-bendera dia. Saya berkayuh bukan untuk menyatakan parti kita lebih baik tetapi berkayuh sambil mengenal pasti kedudukan sesuatu (masalah) kawasan seperti jalan raya, longkang dan sebagainya dan hasil daripada program itu pun kita lihat bandar raya Ipoh ini semakin menghjau," katanya.

Akhbar pada Ahad melaporkan kayuhan sejauh 35 kilometer selama kira-kira lima jam di sekitar bandar raya itu diakui sendiri oleh Mohammad Nizar bertujuan membuatkan rakyat merasai kehadiran mereka terutama menjelang pilihan raya umum ke-13. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain