suria

Jabatan Siasat Punca Kematian Mengejut Pelajar Politeknik

SUNGAI PETANI: Jabatan Pengajian Politeknik Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca seorang pelajar Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis yang ditemui mati di asrama politeknik itu Khamis lalu.

Ketua Pengarahnya Md Nor Yusof berkata beliau merasa dukacita dengan peristiwa yang berlaku dan pihaknya akan mengambil langkah sewajarnya bagi mengelakkan kejadian sama berulang di politeknik.

"Perkara yang berlaku ini kita sedang siasat. Mengikut laporan polis, ia kes mati mengejut. Kita rasa sedih dengan perkara yang berlaku dan kita berharap agar perkara seperti ini dapat dihindarkan," katanya yang turut mengucapkan takziah terhadap keluarga mangsa.

Md Nor berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program khidmat komuniti 1Malaysia For Youth (1M4U), di Kampung Masjid, Kuala Sungai Muda, Kota Kuala Muda, dekat sini Sabtu.

Difahamkan, P. Prema, 20, merupakan pelajar jurusan Diploma Sains Kesetiausahaan politeknik berkenaan dan tinggal berseorangan di bilik asrama.

Kejadian yang menimpa Prema itu hanya disedari salah seorang penghuni yang melalui biliknya. - BERNAMA

Artikel Lain