suria

Lantikan Baru Penguasa Kastam Wajib Ikuti Kursus Sebelum Berkhidmat

MELAKA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mewajibkan lantikan baru penguasa kastam menghadiri kursus asas di Akademi Kastam Diraja Malaysia (Akmal) sebelum ditempatkan di stesen masing-masing.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Khazali Ahmad berkata langkah itu bagi melahirkan pegawai berkemahiran, berkebolehan, profesional dan berpengetahuan asas tentang ilmu perkastaman sebelum mereka menjalankan tugas.

"Sebelum ini kursus asas hanya diberikan kepada pegawai baharu yang dilantik selepas satu atau dua tahun mereka ditempatkan di lapangan masing-masing.

"Kita ubah pendekatan ini supaya mereka menjadi pelapis yang benar-benar memahami dan mengetahui selok belok tugas JKDM," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup tamat latihan kursus asas penguasa kastam Gred W41 2012 di sini, Rabu.

Beliau berkata pendekatan yang bermula pada 18 September lepas itu akan turut diperluaskan kepada lantikan baharu pegawai sokongan kastam bermula tahun depan.

Khazali berkata modul kursus asas tersebut dirangka bagi mendedahkan peserta mengenai struktur, fungsi, aktiviti dan strategi pengurusan JKDM selain memberi pendedahan tentang perintah, arahan dan pekeliling jabatan serta memupuk nilai etika kerja yang cemerlang.

Beliau berkata JKDM turut bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam melaksanakan aktiviti fizikal dalam kursus itu untuk meningkatkan semangat juang dan disiplin yang tinggi dalam kalangan bakal pegawai kastam.

Katanya sebanyak 219 penguasa kastam gred W41 berjaya menamatkan kursus latihan selama tiga bulan di Akmal bermula 18 September lepas dan kesemua mereka akan melapor diri di Jabatan Kastam di seluruh negara pada 24 Disember ini. - BERNAMA

Artikel Lain