Tiga Pelajar Nigeria Ditahan, Syabu Bernilai RM400,000 Dirampas

GEORGE TOWN: Polis menahan tiga pelajar Nigeria dan merampas dua kilogram syabu bernilai kira-kira RM400,000 di Pangsapuri Widuri, Butterworth Selasa lepas.

Turut dirampas ialah mata wang tempatan dan dolar Amerika yang keseluruhan bernilai RM34,000. Sebuah kereta Proton Saga juga disita.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata bertindak dari hasil risikan dan maklumat awam, sepasukan anggota dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman menyerbu rumah itu pada pukul 2.30 petang dan menahan tiga pelajar kolej swasta berkenaan yang berusia antara 24 dan 32 tahun.

"Dua dari mereka belajar di negeri ini dan seorang lagi belajar di Kuala Lumpur dan hasil semakan dengan Jabatan Imigresen mendapati salah seorang daripada mereka masuk negara ini sejak tujuh bulan lepas," katanya kepada pemberita selepas program Polis Diraja Malaysia bersama pelanggan di sini, Jumaat.

Beliau berkata berdasarkan cara pembungkusan dadah itu, polis yakin ia telah diseludup dari luar negara dan dibawa masuk ke negara ini untuk pasaran tempatan.

Abdul Rahim berkata menyalah guna visa pelajar untuk mengedar dadah didapati kembali popular di Pulau Pinang sejak kebelakangan ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan seumpama itu diminta menghubungi pihak polis.

Kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mengenai program bertemu pelanggan itu, Abdul Rahim berkata ia dijadikan program bulanan dan terbahagi kepada peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen.

Katanya pelaksanaan program pada peringkat IPD akan dijalankan pada hari Khamis minggu pertama bermula dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari dan setiap Sabtu minggu ketiga dari pukul 2 petang hingga 5 petang.

Peringkat IPK pula akan mengadakan program ini setiap hari Khamis minggu keempat bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain