suria

Sidang Kemuncak OIC Buat Tiga Ketetapan - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendengar ucapan daripada Setiausaha Agung Pertubuhan Persidangan Islam (OIC)) Ekmeleddin Ihsanoglu semasa Persidangan Luar Biasa OIC ke-4 di Makkah.-fotoBERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendengar ucapan daripada Setiausaha Agung Pertubuhan Persidangan Islam (OIC)) Ekmeleddin Ihsanoglu semasa Persidangan Luar Biasa OIC ke-4 di Makkah.-fotoBERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendengar ucapan daripada Setiausaha Agung Pertubuhan Persidangan Islam (OIC)) Ekmeleddin Ihsanoglu semasa Persidangan Luar Biasa OIC ke-4 di Makkah.-fotoBERNAMA

MAKKAH: Sidang kemuncak luar biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berakhir pada Khamis telah membuat tiga ketetapan penting untuk dilaksanakan dengan segera.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ketiga-tiga ketetapan yang disokong penuh oleh Malaysia itu ialah menggantung keanggotaan Syria dalam OIC, gesaan mengiktiraf negara Palestin sebagai negara berdaulat dan membela nasib umat Islam Rohingya di Myanmar.

Katanya, sidang kemuncak juga menggariskan beberapa tindakan segera yang perlu diambil termasuk menyokong cadangan Raja Arab Saudi Raja Abdullah Abdul Aziz Al Saud agar diwujudkan sebuah Pusat Dialog Islam bagi membincang isu-isu berkaitan fahaman mahzab.

"Sidang kemuncak yang berlangsung di Makkah sempena 26 dan 27 Ramadan telah membentuk satu semangat baru bagi OIC dan menimbulkan keinsafan bagi pemimpin negara-negara Islam mengenai isu-isu umat Islam yang sedang melanda dunia hari ini", katanya kepada pemberita Malaysia di sini Khamis.

Beliau berkata, ketetapan yang diluluskan di tanah suci Makkah itu adalah sesuatu yang istimewa pada sidang OIC kali ini.

Sementara itu, dalam ucapan pada sidang kemuncak itu, Perdana Menteri berkata Malaysia menyokong keputusan menggantung keanggotaan Syria selepas menimbangkan bahawa tindakan itu sebagai simbolik untuk memberikan mesej jelas kepada Syria mengenai perlunya mengambil langkah untuk menghentikan pertumpahan darah dan menyelesaikan secara aman krisis itu demi rakyat Syria.

Beliau berkata tindakan OIC terhadap Syria juga bertujuan melindungi kedaulatan dan integriti kawasan di negara itu.

"Dalam mengambil keputusan ini, Malaysia menggesa negara anggota khususnya negara-negara Arab untuk meneruskan perbincangan konstruktif dengan semua pihak terbabit di Syria untuk mencari penyelesaian aman dan berkekalan di negara itu," katanya.

Perdana Menteri berkata keganasan yang memuncak di Syria adalah sesuatu yang menyedihkan, mengejutkan dan memalukan kerana rakyat terus menyaksikan pembunuhan, penderitaan, dan kehilangan nyawa orang tidak bersalah termasuk wanita dan kanak-kanak.

Najib berkata ribuan rakyat Syria terpaksa meninggalkan tanah air dan mendapatkan perlindungan di negara-negara jiran dan amat sukar untuk dibayangkan bagaimana sebuah negara seperti Syria yang kaya dan berbangga dengan sejarah yang dihormati boleh terjebak dengan tindakan tidak bertamadun.

"Kerajaan Syria mesti diberitahu, tanpa mengira apa keadaan sekali pun, serangan dan bedilan ke atas rakyatnya sendiri termasuk di kawasan orang awam perlu dihentikan segera.

"Sukar untuk dibayangkan selepas begitu banyak pembunuhan dan penindasan dilakukan terhadap rakyatnya sendiri, bagaimana seorang pemimpin sanggup untuk terus berkuasa tanpa sekelumit rasa bersalah dan bertanggungjawab," katanya.

Najib berkata perlu dihentikan segera pembunuhan dan pencabulan hak asasi manusia, terutamanya terhadap rakyat biasa dan Malaysia amat bimbang dengan keadaan kemanusiaan yang semakin meruncing dan kegagalan regim Syria memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada mereka yang memerlukan.

"Kita menggesa pihak berkuasa Syria bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan agensi bantuan kemanusiaan antarabangsa bagi menyegerakan penyampaian bantuan kemanusiaan kepada rakyat Syria," katanya.

Beliau berkata Malaysia pada waktu ini masih percaya Pelan Damai Enam Perkara yang digariskan oleh bekas Setiausaha Agung PBB Kofi Annan, masih merupakan pilihan terbaik untuk menyelesaikan krisis itu.

"Kita kesal dengan keputusan beliau untuk meletak jawatan sebagai Utusan Khas PBB-Liga Arab ke Syria. Namun, kami akan meneruskan usaha beliau untuk mencari penyelesaian efektif terhadap krisis ini.

"Kita percaya Pelan itu dapat memulihkan keamanan, keselamatan dan kestabilan di negara itu. Kita merayu kepada semua pihak, terutamanya pucuk pimpinan Syria, untuk memberikan sokongan penuh terhadap usaha mencari penyelesaian secara aman dan berkekalan," katanya.

Najib berkata secara khususnya, Malaysia menggesa semua pihak mematuhi Resolusi UNGA yang diterima pakai pada 3 Ogos 2012, yang membuka laluan kepada rakyat Syria untuk memutuskan masa depan negara mereka mengikut amalan demokrasi sebenarnya.

Beliau berkata sepertimana negara anggota OIC yang lain, Malaysia mengamalkan prinsip tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara-negara lain.

"Bagaimanapun, ini disebabkan keadaan konflik yang semakin meruncing yang boleh membawa kepada perang saudara dan sebagai mencari jalan bagi penyelesaian secara aman dan berkekalan," katanya.

Najib berkata dengan azam yang jitu, komitmen dan iltizam politik, OIC akan mampu menangani pelbagai masalah yang kini dihadapi ummah.

"Kita akan mencari penyelesaian dan resolusi efektif yang akan menamatkan penderitaan saudara sesama Islam kita," katanya.

Konflik di Syria bermula pada Mac 2011 dengan demonstrasi awam sebagai sebahagian gerakan 'Arab Spring' dan berlarutan menjadi pemberontakan di seluruh negara dan seterusnya perang saudara pada 2012.

Perusuh mendesak bagi penamatan pemerintahan hampir lima dekad oleh Parti Ba'athdan dan peletakan jawatan Presiden Bashar al-Assad. - BERNAMA

Artikel Lain