suria

30,000 Liter Diesel Subsidi Bernilai RM54,000 Dirampas

KUANTAN: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Pahang merampas 30,000 liter diesel dalam pemeriksaan di sebuah kilang industri kecil dan sederhana (IKS) di Semambu awal pagi Rabu.

Pengarah PPDNKK negeri Mohd A. Aruwan Ab Aziz berkata rampasan dibuat kerana kilang itu menjual diesel bersubsidi kepada industri di bawah harga yang ditetapkan.

"Nilai rampasan itu dianggarkan RM54,000 selain turut menyita lima lori tiga tan termasuk satu lori tangki yang dipercayai digunakan membeli dan menjual semula bahan api itu kepada pihak industri pada harga lebih rendah," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Beliau berkata dalam serbuan itu juga pihaknya menahan enam suspek serta merampas wang tunai berjumlah RM65,887 yang ditemui di pejabat kilang terbabit.

"Siasatan lanjut yang dijalankan menemui dua tangki besar dan beberapa tong dipercayai menjadi tempat simpanan diesel selain dua lori kecil yang diubah suai untuk membeli minyak tersebut di stesen minyak sekitar daerah ini," katanya.

Mohd Aruwan berkata aktiviti berkenaan membawa keuntungan berganda kepada sindiket terbabit kerana mereka membeli diesel pada harga subsidi di stesen minyak sebelum dikumpul dan dijual kepada industri.

Harga jualan diesel yang dijual di stesen minyak telah ditetapkan pada RM1.80 seliter manakala harga yang dijual kepada industri adalah RM2.45 hingga RM2.80 seliter tetapi sindiket tersebut menjualnya pada RM2.07 seliter, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Kota Mula Balik Raya

Artikel Lain