10 Perkara Yang Telah (Atau Boleh) Kita Pelajari Dari Sukan Olimpik...

Lee Chong Wei
Lee Chong Wei
Lee Chong Wei

1. Temasya ini menyatukan kita semua - merentasi sempadan agama dan bangsa. Lihat bagaimana marahnya rakyat Malaysia apabila ada seorang wakil rakyat yang mempertikaikan pencapaian Lee Chong Wei. Semua orang marah termasuklah pemimpin dari partinya sendiri.

2. Temasya ini juga membuatkan kita semua melupakan apa jua masalah yang kita hadapi buat sementara waktu.

3. Pada masa yang sama, ia membuatkan para peserta dan kita semua menitiskan air mata. Boleh dikatakan semua peserta yang menang atau kalah menitiskan air mata (kecuali Usain Bolt).

4. Ia menonjolkan rasa bangga pada negara (peserta dan penonton mengibarkan bendera negara ketika menang dan ketika bersorak).

5. Ia penuh dengan kejutan dan debaran - menanti rekod dunia dan temasya dipecahkan. Michael Phelps mengumpul 18 emas daripada 22 pingat yang dimenanginya dan Bolt menjadi manusia pertama di muka bumi mempertahankan acara 100m, 200m dan 4x100m.

6. Olimpik membuatkan kita berasa yang kita perlu mempelajari sesuatu dari kejayaan peserta lain - misalnya apakah resepi kejayaan Jamaica melahirkan pelari-pelari pecut dunia. Apakah yang mereka makan?

7. Olimpik membuka peluang kepada generasi akan datang untuk berangan-angan menjadi juara dunia - suatu perjalanan yang telah dirintis oleh Chong Wei, Pandelela dan juga Azizulhasni Awang (walaupun tidak menang tetapi dia berjaya menduduki enam pelumba terbaik dunia).

8. Tanda aras baru - Bolt, Phelps dan Mo Farah telah meletakkan satu tanda aras baru kepada bakal juara baru dunia dengan memecah rekod demi rekod dan memperlihatkan keazaman yang kental mahu terus menang walaupun berhadapan dengan pelbagai halangan.

9. Olimpik membuatkan kita semua harus bertanya bagaimana negara-negara Afrika yang berhadapan dengan peperangan, wabak dan kemiskinan boleh melahirkan jaguh dunia sedangkan kita masih merangkak-rangkak.

10. Akhir sekali Olimpik juga membuatkan kita semua terfikir untuk memberitahu persatuan-persatuan sukan dan juga Kementerian Belia dan Sukan bahawa jika mereka perlu melabur untuk melahirkan seorang juara Olimpik, mereka wajar melakukannya - kerana Olimpiklah satu-satunya acara di muka bumi ini yang membuatkan kita semua teruja dan rasa mahu menang.

Artikel Lain