suria

Winson Seow Mohon Maaf Kelirukan Orang Ramai Tentang Khidmat Bantuan

PETALING JAYA: Seorang lelaki yang didakwa memalsukan kelayakan bidang perubatannya dan mengelirukan masyarakat mengenai khidmatnya di negara yang dilanda peperangan dan kawasan bencana memohon maaf.

Kenyataan itu, yang disiarkan di laman sosial Facebook milik Winson Seow pada Selasa dan ditulis dalam bahasa Mandarin menjelaskan: “Saya telah mengelirukan para pemberita yang menemuramah saya dan saya memohon maaf. Saya harap semua dapat memaafkan saya.”

Kisah mengenai lelaki yang berusia 26 tahun itu diperkatakan pada awal tahun ini apabila akhbar tempatan menulis mengenai cerita inspirasi beliau yang berkhidmat di negara-negara ketiga dan sebuah buku autobiografi menceritakan tentang pengalamannya yang bertajuk ‘To Serve With Love’.

Bagaimanapun, terdapat beberapa percanggahan dalam latar pendidikan beliau, termasuk beberapa universiti yang beliau tamat pengajian, seperti yang didakwa, sehingga menimbulkan bantahan pelbagai pihak.

Menurut kenyataan itu, Seow berkata, beliau mengikuti kursus dalam perubatan tradisional Cina selama tiga tahun di Universiti Perubatan Cina Beijing di China sebelum mendaftar untuk melakukan tugas bantuan dengan Bantuan Perubatan Antarabangsa pada tahun 2010, semasa beliau ditugaskan untuk menjaga kawasan bencana di Senegal, Haiti dan Peru.

“Saya bercadang untuk ke negara-negara zon perang bagi membantu mereka yang menderita di sana. Saya mahu memperjelaskan bahawa saya hanya seorang pelatih untuk merawat orang,” katanya dalam kenyataan itu.

Terdahulu, Seow mendakwa beliau pernah melakukan pembedahan terhadap mangsa letupan bom dan tembakan.

Seow berkata, beliau akan memulangkan semual sumbangan yang dikumpulnya berjumlah RM38,099.97 bagi pihaknya, sambil menambah bahawa semua versi bukunya akan dikeluarkan daripada kedai-kedai buku.

“Saya mahu memohon maaf terutama mereka yang telah membeli buku saya, para penerbit dan penaja dan saya harap semua dapat memaafkan saya,” katanya.

Penderma boleh menghubungi Corporate Tax Advisory Sdn Bhd di talian 06-336 9698 atau emel ke [email protected] bagi mendapatkan maklumat bagaimana untuk mendapatkan pemberian derma itu semula.

Artikel Sebelum

Warga Kota Mula Balik Raya

Artikel Lain