suria

Warga Indonesia Diberkas Cuba Seludup Syabu Bernilai Hampir RM1 Juta

KOTA KINABALU: Seorang warga Indonesia ditahan kerana cuba menyeludup dadah jenis syabu bernilai hampir RM1 juta di Tawau.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata kejadian berlaku pada 14 Ogos lepas pada 12.04 tengah hari ketika suspek berusia 20 tahun itu menaiki bot ke Pulau Sebatik.

Beliau berkata sepasukan polis marin memintas bot berkenaan setelah curiga dengan kehadiran bot tersebut.

Katanya ketika pemeriksaan dilakukan, polis menemui tiga bungkusan yang dibalut kemas dengan kertas pembalut hadiah yang disimpan di dalam sebuah beg sandang suspek.

"Keseluruhan dadah yang ditemui adalah 60 paket dan setiap paket mempunyai berat lebih kurang 50 gram. Secara keseluruhan, jumlah dadah yang dirampas daripada lelaki tersebut adalah 3.14 kilogram dan dianggarkan bernilai RM960,000," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah dekat sini Khamis.

Hamza berkata lelaki yang berasal dari Sungai Nyamuk, Indonesia itu dikatakan memasuki negara ini secara sah menggunakan Pas Lintas Batas dan dipercayai mendapatkan bekalan dadah dari Tawau untuk diseludup ke Pulau Sebatik untuk pasaran penduduk pulau tersebut.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1957 yang membawa hukuman mati mandatori jika disabit kesalahan.

Beliau juga berkata di samping tangkapan terbaru itu, jumlah rampasan syabu di negeri ini pada tahun ini sebanyak 4,344.26 gram melibatkan 21 kes dan 51 tangkapan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Iran Maut Ditikam

Artikel Lain