suria

Agama Islam Tidak Harus Dipolitikkan - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (dua, kiri) bersalaman dengan sebahagian tetamu ketika hadir pada majlis berbuka puasa bersama warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Jalan Semarak, K.Lumpur. Turut kelihatan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (kiri). -fotoBERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman bersalaman dengan para tetamu ketika menghadiri Majlis Tadarus dan Khatam Al Quran serta berbuka puasa bersama Perdana Menteri di Masjid Jamek Tan Sri Ainuddin Wahid, Taman Universiti, Skudai, Johor, Isnin.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman bersalaman dengan para tetamu ketika menghadiri Majlis Tadarus dan Khatam Al Quran serta berbuka puasa bersama Perdana Menteri di Masjid Jamek Tan Sri Ainuddin Wahid, Taman Universiti, Skudai, Johor, Isnin.

JOHOR BAHARU: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata agama Islam tidak seharusnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak di negara ini.

Sebaliknya, kata Perdana Menteri, agama Islam seharusnya diletakkan di tempat yang paling tinggi, sekali gus banyak permasalahan yang membelenggu umat Islam pada masa kini dapat diatasi.

"Jika politik mengatasi Islam dan diletakkan lebih tinggi maka banyak permasalahan menghantui umat Islam dan menyebabkan perpecahan yang kini telah jadi punca kelemahan umat Islam dan menjadi punca musuh-musuh Islam perlekehkan Islam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis tadarus dan khatam al-Quran serta majlis berbuka puasa di Masjid Tan Sri Ainuddin Wahid, Taman Universiti, Skudai di sini, Isnin.

Majlis turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Johor Datuk Abd Ghani Othman dan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Najib berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) sendiri sentiasa mengutamakan Islam dalam mentadbir urus negara dan mengikut landasan serta tuntutan syiar Islam.

"Kita memajukan pentadbiran negara kita berdasarkan syariah dan itulah tuntutan Islam kepada kita dan antara lima perkara yang kita lakukan ialah menjaga Islam, sebab itulah kita dikenali negara Islam.

"Kita juga menjaga akidah Islam, jaga akhlak Islam, meningkatkan syiar Islam, menyediakan prasarana Islam, perundangan Islam dan sebagainya," katanya.

Perdana Menteri berkata kejayaan kerajaan menguruskan Malaysia dengan baik walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran mendapat pengiktirafan negara Islam yang lain sehingga menjadikan negara ini sebagai model negara Islam yang berjaya.

Dalam masa yang sama, katanya kerajaan tidak pernah mengabaikan kebajikan kepada rakyat dan menyalurkan pelbagai jenis bantuan yang tidak dapat diperoleh di mana-mana negara di dunia ini.

"Malam tadi (semalam) saya berada di Bachok, Kelantan, rupanyanya ada bantuan yang saya sendiri tidak tahu iaitu bantuan gangguan binatang buas. Kalau kena patuk ular boleh dapat bantuan, mana ada kerajaan di dunia berbuat demikian," katanya.

"Inilah kerajaan yang jaga kebajikan kita secara menyeluruh di mana konsepnya kita hendak Islam dan dalam masa yang sama kita juga mahukan kemajuan serta pembangunan.

"Kita tidak mahu Islam dikaitkan kemiskinan, kita tidak mahu Islam dikaitkan dengan kelemahan dan kita mahu Islam yang dikaitkan dengan gagah serta perkasa kerana Allah sayangkan orang yang berjaya," katanya.

Dalam majlis itu, Perdana Menteri turut menunaikan solat Maghrib berjemaah sebelum menikmati hidangan bersama Muhyiddin serta pemimpin parti komponen B Nyang lain. Beliau selepas itu menunaikan solat Isyak dan Tarawih sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur. - BERNAMA

Artikel Lain