suria

Kerajaan P.Pinang Lancar Portal Pekerjaan

BUTTERWORTH: Kerajaan Pulau Pinang akan memperkenalkan sebuah portal pendaftaran pekerjaannya sendiri untuk mempercepatkan proses permohonan perkhidmatan kakitangan kerajaan di negeri itu.

Ketua Menterinya, Lim Guan Eng berkata, sistem tersebut yang dikenali sebagai 'Sistem Pendaftaran Pekerjaan Sepanjang Masa (e2PSM) bertujuan untuk memperbaiki kecekapan dalam menguruskan permohonan pekerjaan secara dalam talian.

"Sistem itu menyediakan maklumat berhubung kekosongan kerja di semua jabatan di bawah skop kerajaan negeri.

"Ia menawarkan pendekatan secara automatik untuk memproses pengambilan kakitangan tetap dari Gred 16 dan ke bawah selain pekerja kontrak dari semua gred," katanya selepas majlis penyampaian anugerah cemerlang kepada kakitangan kerajaan di sini.

Beliau turut menyampaikan anugerah penghargaan kepada pesara dan keluarga kakitangan kerajaan yang sudah meninggal dunia.

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri II, Dr P.Ramasamy.

Lim berkata, sistem 'e2PSM' yang dikendalikan oleh pejabat setiausaha negeri boleh dilayari secara dalam talian di alamat http://e2psm.penang.gov.my/login.php.

Setiausaha Negerinya, Datuk Farizan Darus berkata, antara perkara utama untuk meningkatkan standard kakitangan awam di Pulau Pinang ke tahap antarabangsa adalah melahirkan pekerja bermotivasi tinggi.

"Saya percaya tiada siapa di kalangan kakitangan awam ingin dikategorikan sebagai gagal menepati pencapaian ditetapkan. Oleh itu, kita perlu bekerja keras untuk memupuk sikap positif supaya boleh memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai," katanya.

Pada masa sama, Farizan berkata, budaya mengiktiraf pencapaian pekerja di dalam sesebuah organisasi mesti diteruskan untuk menggalakkan mereka kekal cemerlang di dalam kerja.

Sementara itu, Dr Ramasamy merasmikan sistem 'e2PSM' dan menyampaikan sijil penghargaan berserta wang RM1,000 kepada 275 penerima di atas pencapaian cemerlang mereka.

Artikel Lain