suria

Tempoh Penjara Bekas Pengarah Ditambah Kepada 12 Bulan

PUTRAJAYA: Bekas pengarah syarikat Fountain View Development Bhd Datuk Chin Chan Leong hari ini dihantar ke penjara untuk menjalani hukuman penjara 12 bulan bagi kesalahan memanipulasi saham di Bursa Malaysia yang dilakukannya antara 2003 dan 2004.

Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan di sini hari ini menambah tempoh hukuman tahanan (Chin) kepada penjara 12 bulan selepas memutuskan hukuman penjara sehari yang diputuskan Mahkamah Sesyen ke atasnya tidak menunjukkan keseriusan kesalahan itu.

Hakim Datuk Seri Wira Abu Samah Nordin yang mempengerusikan panel itu berkata kesalahan yang dilakukannya boleh mendatangkan impak teruk ke atas pasaran dan ekonomi dan juga menjejaskan keyakinan para pelabur.

Beliau memerintahkan Chin, 59, untuk menjalani hukuman penjara itu dari hari ini.

Panel itu yang turut dianggotai Hakim Datuk Linton Albert dan Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim, bagaimanapun mengekalkan denda RM1.3 juta yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen yang telahpun dibayar oleh Chin. Semasa membenarkan rayuan pihak pendakwaan, Hakim Abu Samah berkata Hakim Mahkamah Sesyen telah terkhilaf ketika menggunakan budi bicaranya untuk menjatuhkan hukuman sehari ke atas Chin.

"Pada pandangan kami kes ini amat jelas di mana kesalahan yang dilakukan memang dirancang terlebih dahulu. Hukuman yang wajar ialah hukuman penjara," katanya semasa mengubah hukuman penjara sehari itu kepada penjara 12 bulan.

Chin dihukum penjara sehari dan denda RM1.3 juta atau penjara 13 bulan jika gagal membayar denda itu oleh Mahkamah Sesyen pada 5 Feb 2010 selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan memanipulasi saham Fountain View di Bursa Malaysia menerusi 20 akaun Central Depository System (CDS) yang dimilikinya menerusi syarikat-syarikat yang dikawalnya antara November 2003 dan Januari 2004.

Hasil daripada manipulasi itu, harga bagi setiap saham naik daripada RM1.99 kepada RM6.05 dalam tempoh dua bulan.

Pihak pendakwaan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan selepas rayuannya terhadap hukuman ringan itu ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 2 September 2010.

Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Sekuriti Shanti Geoffrey, yang mewakili pendakwa raya dalam hujahnya semalam berkata hukuman tahanan bagi tempoh lebih lama perlu dilaksanakan untuk mengembalikan integriti pasaran saham tempatan dan sebagai ingatan kepada mereka yang melakukan manipulasi pasaran bahawa mereka akan dikenakan hukuman berat. -BERNAMA

Artikel Lain