suria

Bedah Tukar Jantina: Tidak Boleh Tukar Nama Jantina Lain - Mashitah

KUALA LUMPUR: Mana-mana lelaki atau wanita tidak dibenarkan menukarkan nama mereka kepada nama jantina yang lain apabila mereka membuat pembedahan pertukaran jantina.

Timbalan Menteri Perdana di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata, ini merujuk kepada keputusan mesyuarat Muzakarah Fatwa kali keempat yang membincangkan tentang persoalan pertukaran jantina daripada lelaki kepada perempuan.

"Ia (Muzakarah Fatwa) telah memutuskan sebarang pertukaran daripada lelaki kepada perempuan atau sebaliknya melalui pembedahan adalah haram dari segi syarak.

"Seseorang yang dilahirkan lelaki, hukumnya tetap lelaki walaupun dia berjaya menukarkan jantina melalui pembedahan.

"Dan seseorang yang dilahirkan perempuan, hukumnya tetap perempuan walaupun dia berjaya menukarkan jantina melalui pembedahan," kata beliau pada sidang Dewan Rakyat di Parlimen, Selasa.

Mashitah berkata demikian dalam konteks Islam, hanya orang yang dilahirkan khunsa sahaja yang dibenarkan untuk membuat pembedahan bagi mengekalkan salah satu jantina.

"Oleh itu, pihak pendaftaran (Jabatan Pendaftaran Negara) terpaksa akur dengan mesyuarat Muzakarah Fatwa yang telah pun memutuskan terhadap masalah berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Jidin Shafee (BN-Setiu) mengenai lelaki yang membuat pembedahan penukaran jantina untuk menjadi perempuan tetapi tidak dibenarkan menukar nama kepada lelaki kepada perempuan apabila mereka membuat permohonan.

Dalam pada itu, Mashitah berkata, perkembangan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), isu tersebut bukan lagi bersifat individu tetapi pergerakan.

"Di mana individu-individu dimobilisasikan dengan satu suara seperti mereka sebagai orang yang dizalimi dengan alasan hak mereka dinafikan atau dirampas.

"Oleh itu, kita mencegah ia yang menyumbang kepada penyebaran fahaman dan ideologi ini," kata Mashitah.

Artikel Lain