suria

Seorang Pembantu Kedai Mati Diserang Sekumpulan Lelaki

KOTA KINABALU: Seorang lelaki mati manakala rakannya parah apabila mereka diserang sekumpulan lelaki di luar sebuah pusat hiburan di Inanam Taipan, dekat sini awal pagi Ahad.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, mangsa seorang pembantu kedai yang dikenali sebagai Hairi Harman, 25, ditemui meninggal dunia di tempat kejadian akibat ditikam di bahagian dada selepas dipercayai diserang sekumpulan lelaki sebelum mereka melarikan diri.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superitendan M. Chandra berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 5.28 pagi dan menemui mangsa terbaring di lantai pusat hiburan itu.

Chandra berkata, polis tidak menolak kemungkinan kedua-dua lelaki itu terlibat dalam pergaduhan terlebih dahulu sebelum dicederakan.

Beliau berkata, rakan mangsa yang cedera, Dondon Asiron yang berusia lingkungan 20-an cedera parah dan kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Menurutnya, polis masih menyiasat motif sebenar kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Chandra turut meminta kerjasama orang awam yang menyaksikan kejadian itu agar tampil membantu polis dalam siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain