suria

MRT Corp Pastikan Pembinaan MRT Tidak Terlalu Jejas Aliran Trafik

KUALA LUMPUR: Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp)telah menggubal Pelan Pengurusan Trafik (TMP) di kawasan pembinaan projek My Rapid Transit (MRT), bagi memastikan hanya gangguan minima kepada aliran trafik.

Pengarah Perhubungan Awam dan Komunikasi Strategik MRT Corp Amir Mahmood Razak berkata TMP yang diurus pakar trafik berdasarkan garis panduan kerajaan, dibentuk bagi membolehkan pengguna jalan raya dan pejalan kaki melalui kawasan pembinaan dengan selamat.

"TMP akan menangani tiga isu utama iaitu langkah mengurangkan kesesakan trafik; maklumat awam mengenai lencongan dan penutupan jalan; dan langkah keselamatan bagi pengguna jalan raya dan pejalan kaki.

"Tidak akan ada lorong ditutup ketika waktu puncak, kami hanya akan menutup lorong pada tengah malam ketika aliran trafik kurang," katanya pada taklimat media mengenai TMP di Pusat Maklumat MRT, di sini, Jumaat.

Projek MRT Sungai Buloh-Kajang sepanjang 51 kilometer itu akan memiliki 31 stesen dan menyediakan perkhidmatan kepada 1.2 juta penumpang apabila siap pada 2016.

Amir Mahmood berkata MRT Corp akan menyebarkan maklumat menerusi media dan saluran mereka sendiri selewat-lewatnya empat minggu sebelum mana-mana pembinaan pakej bermula.

Terdapat lapan pakej bertingkat dan satu pakej bawah tanah dalam projek itu.

"TMP akan dilaksana secara berasingan oleh kontraktor tetapi diurus oleh kami dan kami akan menempatkan satu pasukan tindak balas kecemasan di setiap pakej bagi menangani kejadian yang tidak diingini," katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai TMP, orang ramai boleh layari laman web www.kvmrt.com.my - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain