suria

Kerajaan Cadang Tidak Lulus Lesen Bot Jika Pukat Tidak Ikut Spesifikasi

JITRA: Kerajaan bercadang tidak akan meluluskan lesen kepada pengusaha bot menangkap ikan jika sekiranya pukat yang mereka gunakan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Wira Mohd Johari Baharom.

Beliau berkata cadangan itu bertujuan melindungi sumber pembiakan ikan di samping melindungi kepentingan nelayan untuk jangka masa panjang.

"Pada masa ini spesifikasi pukat tidak dijadikan syarat untuk meluluskan lesen bot namun kreativiti nelayan yang mengubah suai pukat menjadi lebih panjang dan lebar didapati mengancam sumber laut.

"Dalam satu cubaan menggunakan pukat tunda dari Kuala Kedah ke Pulau Pangkor baru-baru ini, saya dapati kesannya amat jelas merosakkan sumber laut," katanya semasa ditemui selepas menyampaikan cek bantuan RM300,000 kepada Jawatankuasa Kubor Siam, Kampung Sungai Baru/Kota Giam di sini Sabtu.

Bantuan tersebut berupa peruntukan kerajaan persekutuan bagi membina tempat pembakaran mayat di kampung itu yang diterima pengerusi jawatankuasa persatuan tersebut Cham Nat a/l Iprat.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata di Kuala Kedah Khamis lepas bahawa pihak berkuasa akan bertindak tegas terhadap bot yang tidak mengikut syarat lesen serta mereka perlu menghentikan pencerobohan kawasan nelayan pantai.

Muhyiddin membuat kenyataan itu selepas Persatuan Nelayan Kedah (NEKAD) meminta kerajaan mengatasi aktiviti itu dan penggunaan pukat boya yang memusnahkan hidupan laut.

Mengulas perkara tersebut, Mohd Johari berkata kerajaan bagaimanapun memberi kelonggaran kepada pengusaha bot menggunakan pukat sedia ada sehingga rosak tetapi tidak boleh mengubahsuainya apabila diganti baru.

Syarat baru itu membabitkan semua jenis pukat bot laut dalam dan nelayan akan diberi penjelasan sebelum ia dikuatkuasakan sepenuhnya tidak lama lagi, tambahnya.

Mengenai nasib petani yang tanaman padi mereka diserang ulat ratus, beliau berkata kajian Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) mendapati kira-kira 500 hektar milik hampir 500 petani di daerah Kubang Pasu yang mengalaminya, tetapi yang meminta bantuan melebihi jumlah tersebut.

"Saya kecewa kerana yang tampil membuat pengakuan terlalu ramai dengan keluasan mencecah 2,500 hektar menyebabkan kerajaan belum memberi kata putus. Bantuan biasanya diberi jika dilanda bencana, bukan penyakit," katanya.

Ulat ratus yang menyerang padi yang hampir boleh dituai itu kebanyakannya berlaku di Kubang Pasu pada Februari lepas menyebabkan ada petani kerugian 100 peratus. - BERNAMA

Artikel Lain