suria

24 Pekerja Syarikat Selenggara Terhidu Gas Ammonia Di Loji Petronas

DUNGUN: Seorang pekerja syarikat selenggara terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu selepas terhidu gas dipercayai ammonia dalam kejadian di Loji Memproses Gas Petronas di Kerteh, di sini malam Khamis.

Kejadian turut menyebabkan sekurang-kurangnya 23 lagi menerima rawatan di Klinik Kesihatan Paka dan Hospital Dungun.

Penyelia keselamatan loji Fazeli Alias berkata kejadian berlaku kira-kira 8.30 malam ketika 300 pekerja Hyundai PFC Engineering Sdn Bhd itu sedang bersedia memulakan kerja lebih masa di loji tersebut.

Ketika kejadian, kira-kira 50 pekerja telah berada di dalam loji itu manakala yang lain sedang berbaris untuk memasuki loji terbabit, katanya ketika ditemui pemberita, di sini.

"Tidak semena-mena kami terbau gas menyebabkan kami segera pergi ke pejabat tapak untuk menyelamatkan diri," katanya.

Katanya akibat kejadian, ada pekerja yang mengalami simptom keracunan gas seperti loya dan muntah menyebabkan mereka dihantar mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Paka dan Hospital Dungun sementara seorang digegaskan ke HNSZ kerana mengalami simptom yang serius.

Sementara itu, Penolong Penguasa Bomba negeri Roslan Mat Din ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.30 malam.

"Dua jentera bersama lapan anggota dan pegawai dikerahkan ke tempat kejadian bagaimanapun pihak bomba gagal mengesan kebocoran gas di kawasan itu," katanya.

Beliau berkata pihak bomba percaya gas ammonia tersebut adalah dipercayai bawaan angin namun mereka masih memantau keadaan di loji terbabit untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain