suria

Terengganu Sasar Laksana Kelas Maya Di Semua Sekolah Menjelang 2015

KUALA TERENGGANU: Terengganu mensasarkan semua sekolahnya melaksanakan konsep kelas maya menjelang 2015, sekali gus akan menjadi negeri pertama di negara ini yang berbuat demikian.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Razif Abd Rahman berkata sasaran itu berdasarkan kejayaan yang dicapai menerusi projek perintis di tiga sekolah sebelum ini.

"Tahun ini kita akan melaksanakan kelas maya itu di 32 buah sekolah rendah terpilih dan dua sekolah menengah elit iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lembah Bidong, Setiu dan SMK Mak Lagam, Kemaman," katanya kepada pemberita, di sini, Selasa.

Beliau berkata kerajaan negeri juga yakin dapat melaksanakan kelas maya di semua sekolah rendah menjelang tahun depan, sebelum diteruskan di semua sekolah menengah.

Katanya berdasarkan pelaksanaan projek perintis di Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Kalong di Kemaman dan Sk Paya Bunga serta Sk Kompleks Seberang Takir di sini, sambutan murid amat menggalakkan kerana sesi pembelajaran yang ceria.

Ahmad Razif berkata kerajaan Terengganu membelanjakan RM25 juta untuk menyediakan e-Book kepada murid yang akan dimanfaatkan untuk kelas maya.

Saban tahun Terengganu membelanjakan RM300 juta untuk sektor pendidikan yang mana jumlah itu sama dengan peruntukan pengurusan bagi sesetengah negeri di negara ini, namun pelaburan besar tersebut perlu bagi menghasilkan anak negeri berkualiti, katanya.

"...biarlah mereka ini akan terus membangunkan Terengganu melalui kepakaran mereka dalam pelbagai bidang terutama perubatan, perakaunan, kejuruteraan dan ilmuan agama," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain