suria

Peneroka Tidak Boleh Jual Tanah Tanpa Kebenaran Kerajaan Negeri - Adnan Yaakob

TEMERLOH: Peneroka felda tidak boleh menjual, menggadai atau menyewakan tanah mereka tanpa kebenaran kerajaan negeri, sekalipun urusan dilakukan menerusi peguam atau surat kuasa.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata perkara terbabit hanya boleh dilakukan dengan kelulusan menteri besar, dan dengan syarat urusan transaksi melibatkan waris terdekat kepada peneroka. "Sebarang perjanjian tukar milik yang dibuat tanpa kelulusan Menteri Besar dan kerajaan negeri dianggap sebagai tidak sah kerana melanggar syarat Akta Tanah Berkelompok (GSA 1960)," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Adnan yang ditemui selepas merasmikan sambutan Hari Orang Kurang Upaya peringkat negeri, berkata sekatan itu bertujuan memastikan aset orang Melayu kekal dimiliki warisnya.

Jika penama asal meninggal dunia, tanah tersebut akan menjadi tanah pusaka dan waris terdekat berhak menuntutnya, kata Adnan.

Beliau diminta mengulas mengenai tindakan segelintir peneroka di gugusan Felda Jengka yang menjual tanah mereka tanpa kebenaran kerajaan negeri.

Adnan turut menasihati peneroka agar tidak terbabit dengan kegiatan sedemikian memandangkan tanah yang jatuh ke tangan pihak lain sukar ditebus kembali, sekalipun mereka mempunyai wang untuk berbuat demikian.

"Kerajaan negeri bersedia memberikan pertimbangan kepada peneroka jika mereka benar-benar menghadapi masalah, tetapi tanah tersebut hanya boleh dijual dan ditukar milik kepada, anak, isteri dan keluarga terdekat," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain