suria

Nurul Izzah Cadang Tiga Rang Undang-Undang Perkukuh Demokrasi

PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar akan mencadangkan tiga Rang Undang-Undang Ahli Persendirian bagi memperkukuhkan demokrasi di negara ini.

Beliau berkata, usaha itu diteruskan berdasarkan Agenda Pemulihan Demokrasi menerusi mekanisme rang undang-undang itu yang pernah dilancarkan pada 23 Disember 2010.

“Ia merupakan pindaan kepada Akta Pembangunan Petroleum 1974, pemansuhan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Akta Perlembagaan (Pindaan) 2012,” katanya dalam satu kenyataan di sini, Isnin.

Nurul Izzah berkata, usaha awal beliau adalah bermula dengan rang undang-undang mengenai ‘Akta Pemansuhan Darurat’ pada 9 Mac 2011 namun ditolak.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan usul yang sama pada 24 November 2011 dan diluluskan oleh Dewan Negara pada 20 Disember lalu.

“Ini membuktikan bahawa usaha memulihkan demokrasi melalui Parlimen mampu mendatangkan kesan dan hasil, terutama dengan menarik perhatian Kerajaan Persekutuan terhadap sesuatu agenda untuk manfaat rakyat,” kata Nurul Izzah.

Mengenai rang-rang undang berkenaan, Nurul Izzah berkata, menerusi pindaan Akta Pembangunan Petroleum 1974, beliau mencadangkan agar kuasa perdana menteri ke atas Petronas dibataskan.

“Petronas mestilah membentangkan akaun perbelanjaan tahunan di Parlimen yang akan menjamin ketelusan dan penggunaan khazanah bumi terhad negara secara seimbang dan mengutamakan kepentingan dan manfaat rakyat,” katanya lagi.

Nurul Izzah turut mencadangkan agar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang dianggap ‘lapuk’ dimansuhkan demi memastikan media bebas dan adil dalam menjalankan tugas mereka sebagai pelapor berita dan saluran maklumat yang seimbang.

Beliau menambah, sebuah suruhanjaya perlu diwujudkan untuk mengawal selia urustadbir media.

Rakyat katanya, mahukan laporan yang menjana budaya ilmu dan maklumat berteraskan kebenaran lagi terpisah daripada fitnah dan kepalsuan propaganda.

“Ini seterusnya akan membuka ruang kepada demokrasi dan langsung menjadikan negara lebih menarik untuk pelabur yang memerlukan maklumat tepat dan cepat,” katanya.

Menurut Nurul Izzah, Akta Perlembagaan (Pindaan) 2012 pula mencadangkan satu pindaan dibuat kepada Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan agar institusi kehakiman negara benar-benar bebas seperti keadaan asal selepas negara mencapai kemerdekaan.

“Ini juga akan mengembalikan prinsip perpisahan kuasa (separation of powers) dan menjadi timbang-tara semakan (checks and balances) agar tidak ada salah guna kuasa dan pecah amanah oleh setiap cabang,” katanya lagi.

Artikel Lain