suria

Abdul Hadi Bidas Najib, Persoal Sumbangan BN Dalam Memartabatkan Islam

PETALING JAYA: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempersoalkan sumbangan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam memartabatkan Islam selama lebih 55 tahun mentadbir Malaysia.

Abdul Hadi berkata sepanjang tempoh tersebut parti itu dilihat lebih banyak menjatuhkan martabat Islam melalui tindak tanduk mereka.

“Apa sudah jadi dengan tulisan jawi di negara ini sepanjang BN memerintah. Peranan Sekolah Agama Rakyat (SAR) dilemahkan, hak istimewa orang Melayu juga diusik. Bagaimana Malaysia hilang Singapura dan banyak lagi yang melemahkan Islam dibuat sewenang-wenangnya,” katanya ketika menyampaikan ceramah di Pokok Sena, Kedah, minggu lalu.

Beliau berkata demikian sebagai membidas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, yang meminta umat Islam di negara ini memilih pemimpin dan parti politik yang benar-benar memartabatkan dan menjamin kesucian agama Islam.

Menurut Abdul Hadi, kenyataan Najib sewaktu berucap di majlis Himpunan Ulama, Cendekiawan Islam dan Penulis Maya Kebangsaan di Kuala Lumpur itu lebih bersesuaian dengan apa yang diperjuangkan PAS.

"Kita benar-benar ikhlas mahu memartabatkan Islam, berbeza dengan BN yang sentiasa memperlekeh dan meminggirkan Islam," katanya.

Abdul Hadi berkata fitnah yang dilemparkan terhadap PAS juga berleluasa sehingga sebahagiannya tidak berasas.

Beliau memberi contoh dakwaan jika Terengganu jatuh ke tangan Pakatan Rakyat (PR), maka DAP akan berkuasa di negeri itu.

"Bagaimana ianya berlaku jika tiada satu kerusi pun DAP bertanding. DAP hanya bertanding di kawasan majoriti Cina di negeri-negeri PR,” katanya.

Tambah beliau, pentadbiran di negeri-negeri di bawah PR amat baik tanpa penyelewengan atau rasuah serta harus diuar-uarkan supaya rakyat dapat membuat penilaian.

Artikel Lain