suria

Tuanku Abdul Halim Berangkat Ke Istiadat Perbarisan Memuliakan Agong

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Haminah Hamidun berkenan berangkat menghadiri istiadat perbarisan memuliakan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-14 selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia pada Jumaat.

Keberangkatan tiba pasangan diraja itu di Dataran Panglima Angkatan Tentera tepat pada pukul 9 pagi disambut dengan lagu Negaraku dan tembakan meriam 21 das.

Seri Paduka kemudian memeriksa perbarisan terdiri daripada 22 pegawai dan 586 anggota lain-lain pangkat bagi ketiga-tiga perkhidmatan ATM yang diiringi oleh Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Perbarisan tersebut terdiri daripada lima detasmen iaitu tiga detasmen dari Tentera Darat iaitu detasmen Rejimen Askar Melayu Diraja, detasmen Renjer Diraja dan detasmen Kor Armor Diraja selain detasmen Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Sebaik selesai pemeriksaan barisan dan pancaragam pusat ATM, lima buah pesawat terdiri daripada sebuah pesawat Agusta dari Tentera Darat Malaysia, sebuah pesawat Fennex dari TLDM, dua buah pesawat nuri serta sebuah pesawat Allouette dari TUDM terbang di ruang udara bagi upacara lintas hormat.

Pesawat-pesawat tersebut telah membawa Jalur Gemilang, bendera ATM dan bendera ketiga-tiga perkhidmatan.

Laungan 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali oleh anggota perbarisan bergema di dataran itu pada penghujung istiadat disusuli dengan bacaan doa.

Tuanku Abdul Halim kemudian sekali lagi menerima tabik hormat daripada pasukan kawalan kehormatan sebelum meninggalkan majlis itu pada pukul 9.40 pagi.

Turut hadir ke istiadat itu ialah panglima-panglima dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM, atase pertahanan beberapa suruhanjaya tinggi serta kedutaan di negara ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain