suria

Projek Samur Pembuka Tirai Era Baru Buat Rakyat Sabah - Najib

SIPITANG (Sabah): Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Projek Ammonia Urea Sabah (SAMUR) PETRONAS bernilai RM4.5 bilion, sebagai pembuka tirai kepada satu era baharu untuk negeri Sabah dan rakyatnya.

"Projek Samur bukan calang-calang projek. Projek ini merupakan projek berskala dunia, yang akan dibina di Sipitang ini," kata Najib ketika berucap pada majlis pecah tanah projek itu, di sini Khamis.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Datuk Shamsul Azhar Abbas dan Pengerusi PETRONAS Chemicals Group Bhd Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Najib berkata nilai eksport dari kilang yang akan menghasilkan 1.2 juta tan urea setahun ini, dijangka mencecah US$4.8 bilion setiap tahun.

"Kita dapat bayangkan apabila Projek Samur ini terlaksana, ia bererti kawasan Sipitang ini berada dalam ambang perubahan yang besar. Detik transformasi langsung yang begitu mendadak dalam beberapa tahun akan datang," katanya.

Perdana Menteri berkata kawasan seluas 2,000 ekar sudah dikenal pasti untuk dimajukan sebagai kawasan industri minyak dan gas serta industri sampingannya di sekitar Sipitang.

Beliau juga berkata pemilihan Sipitang juga adalah berikutan kedudukan strategiknya berdekatan Kota Kinabalu dan Brunei serta potensi laut dalamnya.

Najib yang juga Menteri Kewangan turut diberi jaminan oleh PETRONAS bahawa lebih 80 peratus tenaga kerja Projek Samur ini terdiri daripada anak-anak Sabah.

Katanya sebuah pusat latihan tetap bagi melatih bakal tenaga kerja dalam kalangan anak-anak Sabah sedang dibina dan dijangka siap pada suku kedua tahun depan.

Ketika ini katanya, seramai 24 orang anak tempatan sedang mengikuti latihan di pusat latihan sementara di Membakut dan dijangka menamatkan latihan pada Julai 2013.

Pengambilan kedua seramai 20 orang lagi akan dilakukan pada Julai tahun ini, katanya.

Menurut PETRONAS, Projek SAMUR dijangka memerlukan kira-kira 3,000 hingga 4,500 pekerja, khususnya semasa fasa kemuncak pembinaan Kompleks itu.

Najib turut menyeru rakyat Sabah supaya tidak melepaskan peluang merebut kesan limpahan pembangunan daripada Projek Samur ini.

"Kita tidak merancang untuk menjadikan kilang berskala dunia ini sebagai sebuah pulau dari rakyat tempatan. "Kita adakan rantaian (aktiviti). Kita mahu dan akan pastikan kesan, rahmat akan diagih kepada rakyat tempatan," katanya.

Najib turut mengumumkan bahawa kontraktor yang dipilih untuk projek itu akan memulakan kerja persediaan akhir bulan ini.

Ketika ini, PETRONAS sedang bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk mengenal pasti syarikat-syarikat di Sabah yang berkelayakan untuk turut serta dalam pembangunan projek-projeknya.

Syarikat pengeluar minyak itu berkata penyertaan dan pendedahan syarikat-syarikat tempatan dalam pelaksanaan projek-projeknya akan meningkatkan keupayaan dan pengalaman mereka dan seterusnya membuka lebih banyak peluang untuk mereka dalam industri-industri berkaitan.

Kompleks Projek Samur itu dijangka siap pada 2015. - BERNAMA

Artikel Lain