2012 Tahun Pelbagai Teori, Andaian & Pilihan Raya

SAINS telah membuktikan betapa daya tarikan graviti mempunyai pengaruh yang sangat besar ke atas cecair.

Daya graviti bulan menentukan pasang surut di muka bumi. Bukan itu sahaja, pada waktu bulan penuh, manusia mengaitkannya dengan pelbagai insiden dan fenomena pelik - termasuklah manusia menjadi tidak berapa waras.

Apakah ini ada kaitan dengan fenomena tarikan graviti bulan? Ini kerana kandungan badan manusia adalah 55 hingga 78 peratus cecair.

Mampukah tarikan graviti bulan khususnya ketika bulan mengambang meninggalkan kesan sampingan ke atas kesimbangan diri manusia yang mengandungi sebahagian besarnya cecair?

Namun begitu, Sabtu lepas satu eksperimen mudah telah membuktikan teori tentang bagaimanakah daya tarikan graviti sememangnya mempunyai pengaruh yang sangat kuat ke atas cecair.

Fenomena

Sebuah akhbar telah menerbitkan cerita yang sangat menarik mengenai fenomena ini apabila ia melaporkan bagaimana di Dataran Merdeka sekumpulan remaja merakamkan telur-telur ayam yang ‘berdiri tegak’ tepat pada jam 12 tengah hari, 4 Februari 2012.

Pada waktu itu, matahari memintas garisan khatulistiwa - menjadikan malam dan siang sama di mana-mana pelusuk di muka muka bumi. Kedudukan bumi dan matahari yang sebaris ini telah menjadikan daya tarikan graviti matahari sangat kuat ke atas bumi lantas mencetuskan fenomena ini.

Tarikan graviti matahari yang sangat kuat pada cecair yang terdapat di dalam telur itu telah membolehkan telur berkenaan ‘berdiri tegak’ apabila diletakkan memanjang ke atas.

Fenomena ini turut dikaitkan dengan cakap-cakap bahawa tahun 2012 juga adalah tahun di mana kesemua sembilan planet yang mengeliling matahari kita akan berada dalam kedudukan sebaris - sekaligus mencetuskan rasa cemas apakah yang akan terjadi kepada planet kita jika teori ini benar-benar berlaku.

Apakah akan berlaku daya tarikan graviti yang sangat luar biasa kuatnya kerana kesemua planet dalam sistem solar kita akan berada dalam kedudukan sebaris sehingga mempengaruhi antara satu sama lain, mengubah kedudukan magnetik bumi dan memaksa paksi bumi berubah kedudukan.

Jika ini berlaku, kutub utara dan kutub selatan tidak lagi akan berada di tempat asalnya. Mungkin kita yang duduk di Malaysia yang akan berada di utara hemisfera bumi dan segala-galanya menjadi tunggang terbalik.

Kalendar Maya dan Planet

Fenomena ini turut dikaitkan dengan tarikh 21 Disember 2012 iaitu tarikh akhir kalendar kaum Maya yang berusia 5,125 tahun.

Kalendar kaum Maya bukan sahaja tepat malah lebih tepat dari kalendar Gregorian yang kita guna pakai sekarang.

Kaum Maya tidak meramalkan sebarang malapetaka sebaik sahaja kalendar mereka berakhir tetapi para peramal membuat pelbagai andaian termasuklah mengatakan ia adalah tarikh berakhirnya hayat bumi.

Mereka membuat andaian ini berasaskan teori bahawa ramalan kaum Maya termasuklah tentang gerhana dan pergerakan komet tidak pernah silap sejak beribu-ribu tahun lamanya berasaskan kalendar yang mereka cipta.

Dan hakikat bahawa kaum Maya mengira 21 Disember 2012 sebagai tarikh berakhirnya hayat kalendar mereka bermakna kaum tersebut telahpun meramalkan hayat bumi akan berakhir akibat kedudukan sebaris kesemua sembilan planet dalam sistem solar kita.

Penafian Nasa

Bagaimanapun, Nasa, iaitu Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat dengan segera mengeluarkan kenyataan menafikan teori tersebut dan menegaskan, ramalan mengenai kesemua sembilan planet akan berada dalam kedudukan sebaris menjelang 21 Disember 2012 adalah satu teori yang tidak benar.

“Ia adalah satu andaian semata-mata dan tidak berasaskan kiraan fizik serta astronomi...,” kata Nasa baru-baru ini.

Namun penafian tersebut tidak sama sekali melenyapkan teori kemusnahan dunia pada tahun ini.

****

2012 - TAHUN PILIHAN RAYA DUNIA

DI MANA-MANA sahaja kini, orang bercakap tentang pilihan raya seolah-olah tidak sabar menanti tarikh pengumuman pembubaran parlimen.

Terbaru orang menyebarkan cerita kononnya menjelang pertengahan Februari parlimen akan dibubarnya bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum yang ke-13 berlangsung.

Penulis sendiri beberapa hari yang lalu telah menerima satu teks pesanan ringkas daripada salah seorang pemilik agensi perhubungan awam bertanya apakah ada asas untuk perdana menteri mengemukakan tarikh pembubaran parlimen kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada pertengahan bulan ini untuk membolehkan pilihan raya diadakan Mac depan.

Katanya, terdapat khabar angin mengenai perkara tersebut yang berligar di kalangan mereka. Jawapannya kita tidak tahu tetapi yang pasti ialah semua orang kalau boleh mahukan perdana menteri dengan segera memilih tarikh yang sesuai untuk kita semua keluar mengundi.

Pilih

Sebenarnya, orang ramai sudah bosan dengan politik dan mahukan penentuan siapakah yang berhak memacu kerajaan akan datang ditentukan dengan segera supaya kita semua dapat kembali meneruskan kehidupan normal kita.

Masalahnya cuma satu - di Malaysia tarikh pilihan raya terletak di tangan perdana menteri. Jadi tidak ada siapa pun yang tahu melainkan perdana menteri seorang bilakah tarikh pilihan yang sesuai untuk diadakan pilihan raya.

Sudah tentulah pula, tarikh yang menjadi pilihan perdana menteri kelak adalah tarikh yang kena pada masa dan ketikanya yang akan memberi kelebihan kepada parti yang diterajui olehnya mencapai kemenangan dan kejayaan besar.

Jika silap pilih tarikh dan masa, isu besar dan sensasi masih lagi berlegar-legar di padang ceramah pembangkang, ini hanya akan membawa malapetaka kepada parti yang memerintah.

Oleh yang demikian perdana menteri kena bijak memilih tarikh yang sesuai untuk memastikan kemenangan dan kelebihan berada di pihaknya.

Sebenarnya, sukalah penulis memaklumkan bahawa tahun ini bukanlah tahun pilihan raya bagi negara kita Malaysia sahaja. Ia adalah tahun pilihan raya bagi beberapa buah negara lain.

Bezanya, tidak seperti negara kita, negara-negara lain secara perlembagaannya telah pun menetapkan bilakah tarikh pilihan raya akan diadakan.

Amerika Syarikat

Kita ambil contoh Amerika Syarikat. Mereka telah menetapkan pilihan raya presiden pada 6 November. Mereka juga telah menetapkan tarikh debat pilihan raya di antara calon-calon presiden dan naib presiden.

Keunikan sistem pemerintahan Amerika ialah mereka mengasingkan institusi presiden dengan dewan perwakilan dan senat. Oleh hal yang demikian, mereka akan mengadakan dua bentuk pilihan raya iaitu pilihan raya presiden dan pilihan raya dewan perwakilan serta senat.

Di peringkat negeri mereka juga mengadakan pilihan raya yang berbeza untuk jawatan gabenor dan naib gabenor. Jawatan ini di Amerika samalah seperti jawatan menteri besar atau ketua menteri di negara kita.

Cuma yang membezakannya ialah di Malaysia kita memilih parti dan parti yang menang akan menentukan siapakah calon perdana menteri atau menteri besar/ketua menteri sedangkan di Amerika pemilih melakukan pemilihan secara langsung untuk menentukan siapakah bakal menjadi presiden di peringkat nasional dan gabenor di peringkat negeri.

Dan tidak sepertimana negara kita (satu penggal lima tahun), presiden Amerika cuma berkhidmat untuk tempoh empat tahun sahaja atau maksimum lapan tahun iaitu selama dua penggal. Selepas itu, dia tidak lagi layak untuk menawarkan diri untuk jawatan presiden.

Perancis

Selain Amerika, sebuah lagi negara yang akan mengadakan pilihan raya presiden pada tahun ini ialah Perancis.

Negara ini juga telah menetapkan tarikh pilihan raya presidennya siang-siang lagi iaitu pada April nanti.

Penyandang jawatan presiden berkhidmat untuk tempoh lima tahun dan negara ini sepertimana kebanyakan negara Eropah mengamalkan satu sistem yang agak unik.

Keunikan itu ialah jika undi yang diperolehi oleh mana-mana calon tidak mencapai majoriti kukuh untuk menentukan pemenang yang jelas, pemilihan pusingan kedua akan diadakan.

Perancis telah menetapkan jika ini berlaku, pemilihan pusingan kedua akan dilakukan pada bulan Mei iaitu di antara dua calon yang mendapat undi terbanyak sahaja.

Selepas itu, rakyat negara tersebut akan mengundi dalam pilihan raya perwakilan (Parlimen) pada Jun.

Korea Selatan

Rakyat Korea Selatan sepertimana rakyat Amerika dan Perancis juga akan memilih presiden dan kerajaan baru tahun ini.

Tetapi parti-parti di Korea Selatan mempunyai satu tabiat suka menukar nama parti menjelang tahun pilihan raya. Ini telah berlaku baru-baru ini apabila parti yang memerintah Korea Selatan menukar nama mereka selepas seterus utama mereka berbuat demikian bulan lalu.

Parti konservatif yang memerintah Korea Selatan - Parti Kebangsaan Utama - telah mengumumkan pertukaran nama kepada Parti Saenuri atau Dunia Baru. Nama ini dipilih dari 10,000 cadangan yang dibuat menerusi Internet.

Antara nama lain yang dicadangkan tetapi tidak mendapat perhatian ialah "Parti Harapan Baru" dan "Parti Satu Rakyat".

"Kita berharap dengan penjenamaan semula parti ini, kita akan kembali memperolehi kepercayaan rakyat bagi membolehkan kita terus melakukan perubahan dan reformasi," kata pemimpin parti itu Park Geun-Hye, yang juga disebut-sebut sebagai bakal calon presiden dalam pilihan raya yang akan berlangsung Disember nanti.

Pilihan raya parlimen pula akan diadakan lebih awal iaitu pada April depan. Parti itu kini mempunyai 166 daripada 299 kerusi di parlimen termasuklah kerusi presiden.

Parti Kebangsaan Utama itu dipaksa untuk melakukan reformasi dan perubahan selepas calon mereka untuk jawatan datuk bandar Seoul tewas dalam pemilihan Oktober lalu.

Kini parti berhaluan kiri, Parti Demokratik Bersatu sedang mencuri populariti dengan memperolehi 39.7 peratus sokongan berbanding 29.1 peratus sahaja yang dinikmati oleh Parti Kebangsaan Utama itu.

Parti-parti politik di Korea Selatan mempunyai kecenderungan untuk menukar nama pada tahun pilihan raya sama ada dengan cara bercantum dengan parti lain atau berpisah dengan sekutu lama.

Malah Parti Demokratik Bersatu sendiri baru sahaja menukar namanya kepada nama sekarang sebulan yang lalu selepas mereka bergabung dengan parti yang mendapat sokongan kesatuan sekerja dan lain-lain parti kecil yang berhaluan kiri. Ini adalah pertukaran nama kali ketiga parti tersebut dalam tempoh lapan tahun.

Rusia

Rakyat Rusia juga akan keluar mengundi pada bulan Mac untuk menentukan presiden yang baru.

Sistem demokrasi Rusia yang lahir hasil daripada kematian regim Soviet komunis adalah mirip seperti Amerika.

Cuma sepertimana Perancis, Rusia juga mengamalkan sistem pilihan raya dua pusingan seandainya pada pusingan pertama tidak ada pemenang yang jelas.

Pilihan raya presiden Rusia akan berlangsung pada 4 Mac depan.

Sepertimana Amerika, undang-undang Rusia juga tidak membenarkan seorang presiden memegang jawatan melebihi dua penggal tetapi membenarkan seorang bekas presiden kembali bertanding dalam penggal berikutnya.

Presiden Rusia bertanggungjawab melantik perdana menteri yang merupakan penggerak jentera harian kerajaan pusat.

Presiden bagaimanapun berkuasa penuh ke atas urusan diplomatik dan juga ke atas urusan keselamatan negara.

Pilihan raya dewan perwakilan atau lebih dikenali sebagai Duma telah pun selesai hujung tahun lalu.

Iran

Iran juga akan mengadakan pilihan raya tahun ini tetapi hanya untuk perwakilan parlimen sahaja. Tarikh pilihan raya telah ditetapkan pada 2 Mac depan.

Sistem pemilihan di Iran agak unik. Mereka yang ingin bertanding haruslah terlebih dahulu mendaftarkan diri. Tempoh yang dibuka untuk pendaftaran ialah selama seminggu.

Selepas tarikh pendaftaran calon ditutup, sejumlah 5,395 calon telah mendaftar dan pencalonan mereka akan ditapis terlebih dahulu oleh satu badan yang akan menentukan sama ada mereka layak bertanding atau tidak.

Pilihan raya pada 2 Mac depan mempertaruhkan 290 kerusi parlimen.

Timor Leste

Sebuah lagi negara yang akan menyaksikan pilihan raya umum Mac ini ialah Timor Leste atau suatu ketika dahulu dikenali sebagai Timur-Timor.

Ini adalah pilihan raya umum yang kedua untuk Timor Leste.

Timor Leste telah pun mencapai usia 10 tahun sebagai sebuah negara yang merdeka. Ia dahulu adalah sebahagian daripada wilayah Indonesia sehinggalah 2002.

Indonesia menduduki wilayah itu pada tahun 1975 sebaik sahaja Portugis meninggalkan Timur-Timor selepas 400 tahun menjajahnya.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 10 orang calon telah pun menyatakan hasrat untuk bertanding dalam pilihan raya tersebut termasuklah ketua pembangkang, Francisco "Lu Olo" Guterres dan bekas panglima angkatan tentera Major Jeneral Taur Matar Ruak.

Para pemerhati politik bagaimanapun berkata, pilihan raya presiden itu akan tertumpu kepada tiga calon utama iaitu penyandang jawatan Ramos Horta, Lu Olo dan Ruak.

Sejak 2006, Timor Leste telah dilihat mencapai tahap kestabilan sebagai sebuah negara baru yang mana sebelum itu tunjuk perasaan, pergaduhan antara puak dan rusuhan menjadi ancaman harian.

Pilihan raya parlimen dan pilihan raya presiden yang pertama berlangsung pada 2007.

Pada tahun itu, Ramos-Horta yang merupakan pemegang anugerah Nobel 1996 untuk keamanan bertanding sebagai calon tanpa parti tetapi menerima sokongan daripada Parti Kongres pimpinan Perdana Menteri Xanana Gusmao.

Gusmao adalah bekas pemimpin gerila yang menentang kerajaan Indonesia untuk kemerdekaan Timor Leste. Ramos-Horta mengalahkan Lu Olo dalam pilihan raya presiden 2007.

Pilihan raya ini akan dijalankan dalam dua pusingan. Jika tidak ada calon yang memperolehi majoriti kukuh untuk diisytiharkan sebagai pemenang, pemilihan pusingan kedua akan dilakukan pada bulan April - hanya untuk dua calon paling banyak memperolehi undi dalam pusingan pertama.

Timor Leste mempunyai kira-kira 1.1 juta penduduk.

Aceh

Sebagai sebuah wilayah dengan status autonomi di Indonesia, Aceh juga akan mengadakan pilihan raya gabenor pada 9 April ini.

Yang uniknya, setiap calon gabenor Aceh perlu terlebih dahulu menjalani ujian membaca Al-Quran di hadalan khalayak ramai sebagai pra-syarat layak bertanding.

Dan baru-baru ini tiga pasangan calon gabenor-timbalan gabenor telah pun menjalani ujian membaca al-Quran di Banda Aceh.

Dalam ujian yang dikendalikan Suruhanjaya Bebas Pilihan Raya di Masjid Raya Baiturrahman itu yang dilakukan di khalayak umum dan disiarkan secara langsung menerusi siaran Radio Republik Indonesia (RRI) Banda Aceh, kesemua mereka telah lulus ujian membaca Al-Quran.

Ketiga-tiga pasangan calon itu ialah Zaini Abdullah-Muzakir Manaf dari Parti Aceh serta Fakhrulsyah Mega-Zulfinar dan Hendra Fadli-Yuli Zuardi Rais dari parti bebas.

Hakim dalam ujian bacaan al-Quran adalah wakil dari Majlis Ulama Aceh dan Lembaga Pengembangan Tilawatil Quran.

Mereka harus mendapat sekurang-kurangnya 50 markah untuk lulus.

Kemahiran membaca al-Quran merupakan syarat wajib bagi calon-calon yang akan bertanding dalam pilihan raya gabenor dan timbalan gebenor serta calon-calon pegawai daerah dan penolong pegawai daerah, sejak Aceh melaksanakan undang-undang syariah pada tahun 2003.

Israel

Kemenangan besar Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada minggu lalu sebagai pemimpin Parti Likud iaitu parti yang memerintah sekarang telah sekaligus mencetuskan spekulasi bahawa pilihan raya umum negara tersebut akan dilangsungkan pada November tahun ini dan bukannya 2013 sepertimana yang dirancang.

Netanyahu, memperolehi 80 peratus undi berbanding lawan tunggalnya Moshe Feiglin.

Kemenangan besar itu memberi kekuatan kepada Netanyahu untuk mengemblingkan seluruh tenaga parti untuk menghadapi pilihan raya umum lebih awal.

Mesir

Pilihan raya dewan perwakilan bebas yang pertama di Mesir telah pun selesai Januari lalu dengan kemenangan besar buat kumpulan Ikhwan Muslimin yang sebelum ini merupakan satu gerakan bawah tanah sehinggalah ia mencapai status halal selepas kejatuhan Hosni Mubarak setahun yang lalu.

Kini rakyat Mesir sedang menunggu untuk mengundi dalam pilihan raya presiden pula yang dijadualkan Julai depan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain