suria

Lelaki Didakwa Bunuh Eksekutif Pemasaran Enam Tahun Lepas

SUNGAI PETANI: Seorang jurujual kereta didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Petani hari ini terhadap tuduhan membunuh seorang eksekutif pemasaran kira-kira enam tahun lepas.

Shahril Jaafar, 31, anak seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dituduh membunuh Chee Gaip Yap, 25, pada 14 Januari 2006 antara pukul 5.30 petang hingga 3.05 pagi 15 Jan 2006 di kawasan Kelab Cinta Sayang, Sungai Petani.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang dibawa dari lokap polis Kuala Muda dan dihadapkan di hadapan Majistret Raja Shahril Anuar Raja Baniamin kira-kira pukul 11.35 pagi Selasa.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan.

Mahkamah menetapkan 11 Mac ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan keputusan asid deoksiribonukleik (DNA) tertuduh.

Sebelum ini, jurujual kereta itu yang dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu keputusan ujian DNA diketahui, mengambil peluang melarikan diri ke Perth pada 2006 sehingga mendapat taraf penduduk tetap Australia.

Shahril ditahan polis sejurus tiba dari Perth di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 17 Januari lepas.

Dia direman selama tujuh hari sehingga 23 Januari dan disambung lagi sehingga semalam bagi membantu siasatan kes rogol dan bunuh eksekutif pemasaran itu.

Mayat Chee ditemui pada awal pagi 15 Januari 2006 dalam keadaan separuh bogel di Jalan Kelab Cinta Sayang dan dipercayai dirogol.

Kejadian berlaku semasa Chee berjoging bersama adik perempuannya berusia 24 tahun pada masa kejadian. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain