suria

Kilang Penapis Udara Kerugian Lebih RM1 Juta Akibat Kebakaran

SHAH ALAM: Sebuah kilang penapis udara di Jalan Pengapit Seksyen 15 di sini dianggarkan mengalami kerugian lebih RM1 juta akibat kebakaran yang memusnahkan hampir 80 peratus premis berkenaan pada Jumaat.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kira-kira 1.20 tengah hari itu apabila 29 pekerja di kilang itu sempat menyelamatkan diri manakala sebahagian petugas lelaki pula telah keluar untuk bersolat Jumaat.

Pasukan bomba tiba di lokasi 10 minit kemudian setelah menerima panggilan pada pukul 1.23 tengah hari dan enam jentera dari Balai Bomba Penyelamat Seksyen 15 di sini, Kota Anggerik, Subang Jaya dan Pelabuhan Klang bersama 37 anggota bomba mengambil masa kira-kira 45 minit untuk mengawal kebakaran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Timbalan Penguasa Bomba Mohd Hisham Sidik berkata bomba berjaya mengawal kebakaran terutamanya di bahagian hadapan dan belakang kilang satu tingkat berkeluasan 5,000 meter persegi itu.

"Kita juga mengambil langkah mengawal bahagian belakang kilang berkenaan yang menempatkan bahan kimia kerana bimbang api merebak," katanya kepada pemberita di sini.

Sebuah jentera bomba turut digunakan untuk proses penyejukan tangki gas di kilang berhampiran, katanya.

Beliau berkata meskipun terdapat lebih 10 letupan berlaku ketika operasi memadam tersebut namun keadaan terkawal.

Katanya bomba turut menggunakan pili dari kilang bersebelahan serta mendapat kerjasama Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yang bertindak meningkatkan jumlah tekanan air untuk kerja-kerja memadam.

"Kita anggarkan kira-kira dua jam lagi bagi mengawal penuh kebakaran ini namun ia bergantung kepada keadaan cuaca," katanya.

Pekerja kilang itu, Anney Safuan, 32, berkata dia terdengar orang menjerit dan sebaik keluar ternampak kepulan asap di kawasan tengah kilang berkenaan.

"Saya dengar orang jerit api, api, saya nampak asap terus lari keluar pagar untuk selamatkan diri," katanya.

Winzho Moy, 25, pekerja warganegara Myanmar berlari dengan berkaki ayam kerana panik sebaik menyedari kilang berkenaan terbakar.

Tinjauan di lokasi kejadian turut mendapati beberapa pekerja yang baru pulang dari solat Jumaat bergegas lari ke dalam kilang bagi menyelamatkan kereta mereka yang diletakkan berhampiran bangunan yang sedang terbakar.- BERNAMA

Artikel Berikut

3,996 Calon Lulus STAM 2011

Artikel Lain