suria

Tujuan Paderi Bangkitkan Perkara 153 Dipersoal

KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak mempersoalkan tujuan seorang paderi membangkitkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dalam soal menjaga kepentingan kaum di negara ini.

Menurut Dr Shamrahayu Abdul Aziz dari Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan bukan hanya melindungi hak istimewa orang Melayu, malah turut menjaga hak orang bukan Melayu.

"Ini jelas disebut dalam Fasa (1) perkara itu yang menyatakan mengenai tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong menjaga kepentingan sah kaum lain mengikut peruntukan perkara itu.

"Saya menyokong sepenuhnya kenyataan Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhiyiddin Yassin) semalam yang menegaskan Perkara 153 tidak membuli kaum lain.

"Namun saya mempersoalkan maksud tersirat pihak yang membangkitkan perkara ini...mereka ini sebenarnya mahu melakukan provokasi dan mahu merosakkan keharmonian kaum di negara ini," katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

Minggu lepas Pengerusi Evangelical Christian Fellowship Nasional Dr Eu Hong Seng mempersoalkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan kononnya ia lebih bersifat membuli jika ia hanya melindungi hak sesuatu kumpulan atau pihak.

Shamrahayu berkata kerajaan tidak pernah menafikan hak kaum lain dalam pemberian biasiswa, danasiswa atau keistimewaan pendidikan serta latihan, seperti terkandung dalam perkara itu.

"Ini dapat dilihat dalam pemberian pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional diberikan kepada semua kaum, begitu juga dengan kemasukan ke institusi pengajian tinggi yang berasaskan merit.

"Kita orang Melayu sudah mula jelak dengan isu ini yang dibangkitkan berulang kali. Tidak perlu kita bangkitkan berulang kali, jika ingin salurkan pendapat mengenai perkara ini salurkan kepada saluran yang tepat," katanya.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata kenyataan Eu itu bersifat menghasut dan menimbulkan rasa tidak selesa.

"Sebagai seorang pemimpin agama dan kaum, kita seharusnya mengambil pendekatan lebih rasional dalam usaha untuk menyatukan semua kaum bagi memastikan kekuatan perpaduan terus terpelihara.

"Oleh itu MBM mendesak agar beliau menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Mohamed Maliki berkata MBM tidak mahu hak setiap kaum ditafsirkan secara melulu dan tidak mempunyai rasa tanggungjawab demi kepentingan sendiri tanpa memikirkan kesan buruk yang akan dirasai kaum lain.

Setiausaha Agung Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) Salman Abdul Rahman berkata pihak yang berterusan mempersoal hak keitimewaan orang Melayu perlu mengenang kembali sejarah asal Perkara 153 itu.

"Bila kita kembali ke sejarah asal dirangka perkara itu, keistimewaan Melayu ini diberi kerana kita iktiraf warga bangsa lain sebagai rakyat negara kita. Inilah yang kemudiannya dikenali kontrak sosial.

Salman berkata orang Melayu masih memerlukan hak keistimewaan supaya mereka boleh bersaing dengan bangsa lain. - BERNAMA

Artikel Lain