TNB Sedia Beli Gas Pada Harga Pasaran:Che Khalib - Semasa | mStar

TNB Sedia Beli Gas Pada Harga Pasaran:Che Khalib

BANGI: Tenaga Nasional Bhd (TNB) bersedia membeli gas untuk penjanaan tenaga pada harga pasaran terbuka apabila terminal regasifikasi gas asli cecair (LNG) di Melaka siap pada 2012.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata syarikat itu sedang berunding dengan beberapa pembekal gas, termasuk ExxonMobil dan Royal Dutch Shell, untuk memperoleh bekalan.

"Kami sudah melantik perunding profesional untuk berurusan dengan pembekal utama memandangkan kami masih baru dalam perkara itu," katanya kepada pemberita di Universiti Tenaga Nasional di sini Selasa.

Harga pasaran gas kini berkisar antara RM30 dan RM50 mmBTU.

Kerajaan, menerusi Petroliam Nasional Bhd, membelanjakan kira-kira RM20 bilion setahun untuk menyediakan gas subsidi kepada TNB pada RM13.70 mmBTU.

Che Khalib berkata harga pasaran terbuka tidak semestinya bermakna kenaikan tarif untuk pengguna doemstik dan industri.

TNB akan mencadangkan beberapa pilihan kepada kerajaan untuk sama ada menyerap kos atau melepaskannya kepada pengguna, katanya.

Gas asli menyumbang sebanyak 60 peratus penjanaan elektrik TNB manakala arang batu dan hidro masing-masing menyumbang 35 peratus dan lima peratus.

TNB menyasarkan untuk mengimbangi penjanaan gas dan arang batu dalam penjanaan tenaga menjelang 2015.

Sementara itu, Che Khalib berkata permintaan bekalan tenaga dijangkakan meningkat tiga hingga empat peratus tahun depan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Rakyat Pahang terima Sultan baharu