suria

LGE Akhirnya Akui Kemampuan Kapal Selam & Profesionalisme TLDM

LANGKAWI: Selepas melalui pengalaman menyelam bersama kapal selam milik Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM), KD Tun Razak selama satu setengah jam pada Jumaat, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng akhirnya mengakui akan kemampuan kapal selam negara yang sebelum ini menjadi kritikan pemimpin pembangkang (termasuk beliau) yang meragui kemampuannya untuk menyelam.

Lim turut menyifatkan pengalamannya menaiki kapal selam buat pertama kali dalam sejarah hidupnya itu sebagai sesuatu yang menarik dan mengujakan selain memuji sikap profesionalisme pegawai dan anggota TLDM.

"Kita menyelam 30 meter. Ia tidak dapat diragukan lagi," katanya kepada pemberita selepas melalui pengalaman menyelam dan tiba dengan helikopter di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, di sini. Lim yang juga Setiausaha Agung DAP berkata beliau sangat tertarik dengan sikap profesionalisme pegawai pemerintah dan anak-anak kapal selam tersebut.

"Jika anda memasuki kapal selam, ia merupakan ruang terkurung. Bagi 32 pegawai dan kru yang mampu mengendalikannya dalam ruang yang terkurung untuk satu tempoh yang lama, ia adalah sesuatu yang luar biasa dan pencapaian yang hebat. Saya amat bangga dengan mereka," katanya lagi.

Lim juga turut menghargai sumbangan wira-wira yang berkhidmat untuk negara dan sanggup berkorban untuk negara dan profesionalisme mereka tidak perlu dipertikaikan. Bagaimanapun, beliau mempunyai pandangan yang berbeza mengenai kos kapal selam itu.

"Kita perlu ada kapal selam. Tapi ada satu perkara yang kami mempunyai pandangan sendiri iaitu mengenai kosnya," kata beliau.

Lim berkata, beliau dijemput oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menaiki kapal selam itu dan beliau menerimanya kerana mahu melihat sendiri keadaan kapal selam tersebut.

Bersama Lim menyelam dengan KD Tun Razak adalah kedua-dua timbalannya, Datuk Mansor Othman dan Dr P. Ramasamy.

Selain itu, turut sama berada dalam kapal selam itu adalah tiga wakil media daripada Bernama dan TV3.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang menyambut Lim di lapangan terbang itu berkata kapal selam KD Tun Razak bergerak 45 batu nautika selama lima jam sejak pukul 10 pagi sebelum dapat menyelam, berikutan keadaan yang cetek di perairan Langkawi.

Beliau berharap Lim akan menceritakan perkara sebenar berkenaan pengalaman beliau hari ini supaya isu berkaitan pertahanan tidak dipolitikkan. - BERNAMA

Artikel Lain