suria

'Saya Tidak Kahwini Penyanyi': Musa

PETALING JAYA: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menegaskan beliau sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap penulis blog yang mendakwa dirinya berkahwin dengan seorang penyanyi dalam perkahwinan gilang-gemilang bernilai RM15 juta.

Musa yang bersara tahun lalu berkata, beliau tidak mempunyai wang sebanyak itu untuk dibelanjakan.

"Setiap kali penulis blog melemparkan tohmahan liar, ia akan memberi kesan kepada mereka sekiranya tuduhan tiada bukti.

"Agensi Pencegahan Rasuah telah menyiasat saya berhubung tuduhan rasuah bernilai RM2 juta dan saya bebas daripada tuduhan itu," katanya pada Ahad.

Menurutnya, isteri beliau, Puan Sri Juriah Ahmad tidak terkejut dengan khabar angin tersebut kerana mengetahui perkara itu tidak benar.

"Dia tahu saya tidak akan berkahwin dengan sesiapa saja kerana saya sentiasa bersamanya. Saya hanya ada seorang isteri, empat anak dan enam cucu.

"Jika saya berkahwin lagi, saya tidak akan merahsiakan perkara itu. Ia tidak seperti melakukan zina," katanya.

Desas-desus perkahwinan besar-besaran di antara Musa dan penyanyi Syella Kamaruddin tersiar dalam blog baru-baru ini termasuk dakwaan beliau membelanjakan sejumlah RM15 juta untuk majlis tersebut selain Syella menerima hadiah banglo bernilai RM5 juta dan kereta Audi R8 berharga RM800,000.

Syella yang tidak mahu mendedahkan identiti suaminya dipetik sebagai berkata, suaminya tidak menyerupai Musa malah kelihatan lebih muda dan berbadan tegap.

Beberapa keping gambar Syella memotong kek bersama suaminya tersiar dalam beberapa laman blog dan disiarkan oleh media bahasa Cina.

Musa berkata beliau mengajar di Pusat Latihan Perang untuk media di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Jelasnya, beliau telah menolak beberapa tawaran termasuk jawatan diplomatik dan pensyarah di Akademi Anti-Penganas di Langkawi.

"Saya selesa dengan tugas saya sebagai pensyarah pada ketika ini," katanya.

Artikel Lain