suria

Pengiktirafan Terhadap Golongan LGBT Berisiko Tingkatkan Jangkitan HIV/AIDS

KUALA LUMPUR: Pengiktirafan terhadap golongan yang menjalin hubungan sesama jantina seperti lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) sepertimana dipromosikan dalam program Seksualiti Merdeka berisiko meningkatkan kadar jangkitan HIV dan Aids di negara ini, demikian menurut beberapa tokoh agama.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Razali Shahabudin berkata penganjuran program itu adalah bertentangan dengan norma dan cara hidup masyarakat dan pegangan semua agama di negara ini.

"Perbuatan ini (hubungan sesama jantina) akan membawa kesan buruk dari aspek kesihatan kerana boleh membawa kepada jangkitan penyakit berbahaya dan juga kesan psikologi yang membawa ketidaktenteraman masyarakat," katanya dalam satu kenyataan di sini, Khamis.

Daripada sudut sosiologi pula, beliau berkata ia akan menyebabkan peningkatan gejala sosial dan maksiat sehingga tidak dapat dikawal.

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) Datuk Nik Mustapha Nik Hassan pula berkata program itu jelas tidak bertamadun dan tersasar daripada cara hidup dan nilai setiap manusia serta meletakkan manusia lebih hina daripada haiwan.

"Penganjur program itu juga jelas telah menyalahi undang-undang negara yang melarang sebarang hubungan sejenis di luar tabii," katanya dalam satu kenyataan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Istiadat Melayu dan Kemudahan Awam Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata tiada satu pun agama yang mengizinkan hubungan seksual sejenis.

"Ini soal akidah dan seperti yang saya maklum semua agama, Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan lain-lain tidak membenarkan seks sejenis. Perkara ini adalah acuan yang diambil dari Barat yang kononnya menggunakan alasan hak asasi manusia," katanya.

Program Seksualiti Merdeka 2011, yang bermula Rabu sehingga 13 November ini, antara lain mendesak hak sama rata untuk golongan LGBT.

Di SHAH ALAM, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata program Seksualiti Merdeka lebih sesuai dikenali sebagai seksualiti songsang dan ia mencemar perkataan merdeka.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata hak kebebasan seksual, seperti gay dan lesbian bukan sahaja bercanggah dengan ajaran Islam malah agama-agama lain.

"Jangan terikat dengan Barat yang legalised homosexuality, ada perkahwinan sejenis... langgar norma kehidupan negara yang menjadikan Islam agama Persekutuan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Rapat 1Malaysia "Transformasi Penjawat Awam (Perpustakaan)" di sini Khamis.

Seminar setengah hari itu dianjurkan oleh Institut Perkembangan Minda (INMIND), Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Selangor, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kelab Pembantu Perpustakaan UiTM, Kesatuan Kakitangan Umum UiTM, Persatuan Pustakawan Malaysia dan Perpustakaan Tun Abdul Razak.

Di KUALA TERENGGANU, Pengarah Strategik Badan Perhubungan Umno Terengganu Datuk Wira Rosli Mat Hassan berkata program itu sebenarnya merupakan satu proses menghina sistem perundangan negara dan juga menghina budaya bangsa Malaysia.

Program itu seolah-olah cuba menyerapkan budaya songsang di negara ini, katanya kepada pemberita.

Katanya walaupun perkara itu merupakan perkara biasa di negara lain seperti Amerika Syarikat tetapi ia tidak boleh diterima oleh masyarakat negara ini.

"Bagi kita seksualiti yang berkaitan dengan gay dan sebagainya itu merupakan satu perkara yang luar biasa dan ia tidak boleh diterima langsung sebenarnya," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain