suria

Pakatan Rakyat Pertikai Tindakan ROS Belum Lulus Pendaftaran

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat pada Khamis mempertikaikan tindakan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang didakwa sengaja melengah-lengahkan urusan pendaftaran gabungan pembangkang bagi mewujudkan sistem politik dua parti di negara ini.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, permohonan mereka masih lagi tertangguh.

Bagaimanapun beliau dimaklumkan oleh Ketua Pengarah ROS, Abdul Rahman Othman baru-baru ini bahawa tiada permohonan baru diterima selepas pengerusinya, Datuk Zaid Ibrahim meninggalkan PKR, November lalu.

"Sebaik saja Zaid meninggalkan PKR, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaaftar menggantikan tempat beliau dan menghantar permohonan baru.

"Kami sering berhubung dengan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendaftaran Pertubuhan mengenai isu permohonan baru itu," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, Khamis.

Namun, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, ROS masih menunggu maklum balas daripada bahagian undang-undangnya dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung permohonan itu.

"Kami turut berhubung dengan pegawai terbabit beberapa minggu lalu tapi masih mendapat maklum balas yang sama.

"Kalau Parti Makkal Sakti Malaysia (MMSP) dan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) boleh didaftarkan dalam masa begitu singkat oleh orang yang sama, Zaid Ibrahim...kenapa mereka melengah-lengahkan permohonan kami," katanya.

Turut hadir sama Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke dan Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Hatta Ramli.

Anthony berkata, permohonan Pakatan Rakyat tidak ditolak kerana tiada surat mengenainya diterima sehingga hari ini.

"Kami tidak pernah menerima surat daripada ROS mengenai penolakan permohonan itu," katanya.

Sementara itu, Hatta menyifatkan tindakan ROS sebagai tidak profesional dan bersikap 'double standard.

"Permohonan parti KITA diluluskan dalam masa dua minggu...jadi seolah-olah ada muslihat politik untuk menghalang pendaftaran itu," katanya.

Pakatan Rakyat mengemukakan permohonan untuk menjadi sebuah parti formal kepada ROS sejak dua tahun lalu.

Artikel Lain