suria

Algeria Mohon Timba Pengalaman Malaysia Dalam Sektor ICT:Rais

GENEVA: Algeria memohon untuk menimba pengalaman Malaysia daripada segi inisiatif dan pelaksanaan dalam sektor teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Rais berkata perkara itu dinyatakan oleh Menteri Pos dan ICT Algeria Moussa Ben Hamadi kepada beliau pada pertemuan yang diadakan di sini.

"Permohonan itu turut membabitkan segi latihan dan penentuan pengisian terhadap projek-projek ICT yang dapat dikongsi bersama," katanya kepada pemberita Malaysia selepas mesyuarat dua hala itu yang turut membabitkan Iran dan Indonesia, di Malaysia Pavilion sempena Kesatuan Telekomunikasi Dunia (ITU) Telekom Dunia 2011, di sini Selasa.

Iran diwakili Menteri Informasi dan Teknologi Komunikasi (ICT) Reza Taghipour, manakala Menteri Komunikasi dan Informatika Tifatul Sembiring mewakili Indonesia.

Beliau berkata Iran pula ingin mendapatkan bantuan Malaysia daripada segi penentuan rizab kepentingan membabitkan satelit.

"Ini akan kita lihat dalam konteks yang sebenar dan apabila fakta ini dapat dikumpulkan, kita akan cuba menelitinya sama ada permintaan Iran ini realistik atau sebaliknya," katanya.

Rais berkata Algeria dan Iran turut melahirkan minat terhadap inisiatif Malaysia melalui program pengagihan Netbook 1Malaysia kepada rakyat dan pembinaan Kampung Wifi di luar bandar.

Beliau berkata pihaknya telah menyatakan bahawa mereka boleh melihat dan menentukan sama ada program itu sesuai untuk negara mereka atau sebaliknya.

"Kebanyakan negara yang bertemu dengan kita tadi, menzahirkan pandangan dan pengalaman, kalau boleh mereka ingin melihat bagaimana Kampung Wifi di Malaysia dilaksanakan.

"Indonesia telah melahirkan pandangan ini terlebih dahulu, tetapi secara keseluruhannya, ketiga-tiga negara berkenaan telah menzahirkan pandangan yang positif terhadap program itu," katanya.

Mengulas lanjut perbincangan dengan Indonesia, Rais berkata kedua-dua pihak turut bersetuju supaya projek seperti yang dilaksanakan Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (Iswami), diadakan di wilayah tertentu melalui penglibatan penulis, wartawan dan lain-lain.

Beliau berkata langkah itu bagi menyemarakkan promosi budaya masyarakat yang walaupun berbeza tetapi ia di bawah satu rumpun.

"Kita memikirkan dan membincangkan bagaimana persahabatan kedua-dua negara dapat dipupuk melalui jentera Jabatan Penerangan dan Informatika untuk melahirkan program rakyat dengan rakyat, selain program kerajaan dengan kerajaan.

"Projek ini akan diperhalusi lagi apabila Iswami mengadakan penganalisaan terhadap program-program yang dilakukan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain