suria

Jalani Pemeriksaan Jantung Jika Anda Mudah Sesak Nafas - Pakar

KUALA LUMPUR: Jika anda mudah mengalami sesak nafas ketika bersenam, berjalan kaki atau menaiki tangga dan berumur 40 tahun ke atas, anda dinasihatkan untuk segera menjalani pemeriksaan jantung.

Pakar Bedah Kardiothorasik Institut Jantung Negara (IJN) Dr Jeswant Dillon berkata ini merupakan tanda seseorang itu mungkin mengalami masalah pada injap jantung atau mengalami masalah koronari.

Beliau berkata individu itu biasanya akan berasa sakit di bahagian dada di sebelah kiri dan kerap kali susah menarik nafas. "Keadaan jantung sebenarnya berbeza-beza mengikut individu tetapi mereka yang berisiko ialah mereka yang berumur 40 tahun ke atas bagi lelaki dan 45 tahun ke atas bagi wanita.

"Kadang kala, bukan sahaja mereka mengalami tanda-tanda ini ketika bersenam tetapi juga ketika hendak tidur dengan kedudukan bantal menyebabkan mereka sakit dada dan individu ini mungkin mendapat serangan jantung," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Persidangan Injap Jantung Ke-2 2011 di sini, Khamis.

Dr Jeswant menasihatkan individu yang mengalami tanda sebegini supaya membuat pemeriksaan jantung agar penyakit itu dapat dikesan lebih awal.

Beliau berkata antara cara untuk mencegah jangkitan jantung ialah mengamalkan gaya hidup sihat dengan melakukan senaman dan menjalani aktiviti fizikal untuk menguatkan jantung.

Selain itu, pengurangan garam dan gula dalam pemakanan serta minuman adalah langkah paling sesuai dan berkesan dalam menangani risiko diserang penyakit jantung.

"Begitu juga dengan minuman, belajar mengurangkan jumlah gula dalam minuman kerana ia lebih sihat untuk jantung anda," katanya.

Dr Jeswant berkata IJN menawarkan pelbagai teknologi terbaru pembedahan jantung dengan kos lebih rendah.

"Persoalannya kini ialah sikap masyarakat untuk menghadirkan diri ke IJ Natau hospital berhampiran bagi menjalani pemeriksaan," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain